by Oh! Semput
Suasana sebuah perarakan keagamaan di wilayah Mukdahan, Thailand, bertukar tragedi apabila sebuah trak pikap yang dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun merempuh sekumpulan sami Buddha, mengorbankan lapan orang dan mencederakan lebih 10 mangsa lain.
Kejadian berlaku ketika seramai 35 sami bersama lima pengikut awam sedang berjalan di bahu jalan bagi menyertai satu upacara keagamaan sebelum kenderaan yang dipercayai dipandu tanpa kebenaran itu hilang kawalan lalu merempuh kumpulan berkenaan.
Komander Polis Wilayah Mukdahan, Mejar Jeneral Polis Pairoj Thaiphutsa berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit mengambil trak pikap milik ibu bapanya tanpa izin sebelum kejadian berlaku.
Menurut beliau, lima sami disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital. Lebih 10 mangsa lain masih dirawat akibat kecederaan yang dialami.
Polis telah menyita kenderaan terbabit untuk menjalani pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, selain memanggil ibu bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan dan menentukan aspek tanggungjawab di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Ketua Polis Bandar Mukdahan, Prayut Ruanthongkam turut mengesahkan bahawa pemandu kenderaan tersebut ialah seorang budak lelaki berusia 11 tahun, manakala semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Mukdahan oleh pasukan perubatan kecemasan untuk mendapatkan rawatan segera.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Mukdahan, Worayan Bunnarat menyifatkan tragedi berkenaan sebagai peringatan serius mengenai kepentingan keselamatan jalan raya serta tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada kenderaan bermotor tanpa pengawasan.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada insiden tersebut bagi mengelakkan tragedi seumpama itu daripada berulang, selain memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya.
Budak 11 tahun pandu pikap langgar perarakan Buddha, 8 sami maut first appeared on #1 The News Malaysia.