by Oh! Semput
Penumpang udara United Kingdom (UK) berdepan detik sukar pada Rabu apabila hampir 400 penerbangan dibatalkan di seluruh negara, ketika perkhidmatan kawalan trafik udara Britain bergelut untuk pulih daripada gangguan teknikal yang disahkan bukan disebabkan oleh serangan siber.
Selepas 1,746 penerbangan dibatalkan pada Selasa berikutan gangguan tersebut, 399 lagi penerbangan dibatalkan pada Rabu, sebahagian besarnya pergi dan dari Lapangan Terbang Heathrow London, salah satu lapangan terbang tersibuk di Eropah, menurut firma analitik penerbangan Cirium.
Lebih 330,000 penumpang terjejas sepanjang dua hari gangguan itu berlaku, dengan 155,000 mengalami pembatalan penerbangan manakala sekitar 180,000 lagi berdepan kelewatan, kata badan industri Airlines UK.
“Kami terpaksa duduk di dalam pesawat selama lebih lima jam,” kata Matt Ernster, 28, yang dalam perjalanan pulang ke Boston dari bulan madunya di Paris menerusi Heathrow pada Selasa kepada AFP.
Apabila mereka akhirnya dibenarkan keluar dari pesawat, “situasi bertukar menjadi huru-hara dan amat kucar-kacir”, kata Ernster.
Pengambilan bagasi “kelihatan seperti situasi kiamat”, dan tiada hotel yang wujud dalam lingkungan dua jam perjalanan.
“Ini pengalaman perjalanan terburuk yang pernah saya lalui.”
Ketua Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS), Martin Rolfe, berkata “buat masa ini kami menolak aktiviti siber” sebagai punca.
“Kami tidak percaya ia merupakan satu serangan siber,” katanya kepada radio BBC.
Rolfe berkata NATS akan menjalankan siasatan yang “sangat menyeluruh” bagi mengenalpasti punca sebenar insiden tersebut.
Syarikat penerbangan kebangsaan, British Airways, berkata ia terpaksa membatalkan hampir 550 penerbangan, 200 daripadanya pada Rabu, berikutan insiden itu, yang menjejas kira-kira 85,000 pelanggannya.
Kekacauan perjalanan minggu ini menyusul selepas gangguan teknikal pada Julai tahun lalu yang menyaksikan berpuluh-puluh penerbangan ke dan dari UK dibatalkan, sekali gus mencetuskan kemarahan ketua-ketua syarikat penerbangan.
Britain mengalami kegagalan sistem udara terburuk dalam tempoh beberapa tahun pada 2023, dengan lebih 700,000 penumpang terjejas selepas ratusan penerbangan mengalami kelewatan atau pembatalan.
Selepas mengadakan perbincangan dengan Rolfe pada pagi Rabu, Setiausaha Pengangkutan Heidi Alexander memberitahu Ahli Parlimen bahawa beliau tidak percaya isu itu “tidak boleh dielakkan”.
Alexander berkata beliau telah mengarahkan kajian semula secara bebas dijalankan bagi mengenalpasti punca dan “memastikan sistem kawalan trafik udara kita mampu membawa penumpang ke destinasi mereka”.
Laporan kajian itu akan dikemukakan dalam tempoh enam bulan.
Rolfe memberitahu Sky News bahawa beliau menggalas “tanggungjawab penuh” namun enggan mengulas sama ada beliau mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.
Neal McMahon, ketua pegawai operasi syarikat penerbangan tambang murah Ireland, Ryanair, mendesak pada Selasa agar Rolfe dipecat dan menuduhnya telah “gagal terhadap penumpang UK”.
Terperangkap dalam gangguan itu, pekerja perkhidmatan kesihatan Josie Donoghue menempuh “mimpi buruk sebenar” di Lapangan Terbang Gatwick London, selepas terpaksa keluar dari pesawatnya yang menuju ke Ireland apabila tersangkut di landasan selama tiga jam.
“Pergerakan menerusi lapangan terbang itu ibarat cuba meloloskan diri dari penjara Alcatraz,” katanya kepada agensi berita tempatan Britain, Press Association.
Susie Senahe, 55, yang dalam perjalanan pulang ke Accra di Ghana selepas melawat anak perempuannya di UK, telah dijadualkan semula ke penerbangan hari Jumaat.
Beliau memberitahu AFP pada Rabu bahawa beliau merancang untuk tidur di terminal Heathrow sehingga hari tersebut.
Seorang lagi wanita yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat, yang enggan dinamakan, berkata beliau tidur di lapangan terbang pada malam Selasa kerana hotel berdekatan “penuh ditempah”.
Penumpang yang terjejas berkemungkinan besar tidak berhak mendapat pampasan kerana gangguan itu dianggap berlaku akibat “keadaan luar biasa” di bawah peraturan hak penumpang, kata pengawal selia penerbangan.
Lapangan Terbang Manchester, Birmingham, dan Edinburgh turut terjejas terutamanya pada Selasa, manakala Lapangan Terbang Dublin berkata ia telah membatalkan berpuluh-puluh penerbangan.
Ryanair menyatakan lebih 65,000 penumpangnya terjejas dengan 50 penerbangannya dibatalkan, terutamanya pada hari Selasa. – AFP
{suggest}
Jika Bukan Serangan Siber, Apa Sebab Sebenar Ratusan Penerbangan Di UK Terpaksa Dibatalkan? WISER.MY.