by Oh! Semput

Polisi yang bersifat positif seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) sentiasa relevan dan sangat diperlukan bagi menangani masalah kegagalan pasaran yang menyebabkan jurang pendapatan antara rakyat semakin besar.
Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, dasar seperti DEB akan membantu membuka peluang dan ruang kepada masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah untuk sama-sama bersaing dalam bidang ekonomi.
Katanya, DEB sebenarnya merupakan cara untuk menangani masalah bila mana ada kumpulan masyarakat yang secara semula jadi terpinggir daripada peluang-peluang berkualiti.
“Contohnya, kini berlaku revolusi dalam industri keempat iaitu industri berasaskan alam maya atau internet. Mungkin kita di bandar tiada masalah untuk mendapat capaian internet tetapi tidak di luar bandar.
“Jadi, dasar seperti inilah yang akan berperanan menyokong infrastruktur yang masih belum mantap bagi memastikan mereka mempunyai peluang yang sama seperti kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor berkata, selagi kemiskinan wujud, polisi seperti DEB wajar dilaksanakan.
“DEB bertujuan untuk membasmi kemiskinan jadi saya lihat ini sangat penting cuma caranya harus disesuaikan mengikut peredaran masa dan pelaksanaannya perlu dipantau supaya tiada orang yang mengambil kesempatan.
“Dakwaan DEB ini hanyalah untuk orang Melayu juga tidak benar kerana ketika dasar ini dibuat dahulu, kebanyakan yang berada pada tahap kemiskinan adalah orang Melayu,” katanya.
DEB yang berlangsung dari 1970 hingga 1990 terbukti mencapai kejayaan dalam mencorakkan Malaysia dengan objektif membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat iaitu daripada kadar 50 peratus pada awal 70-an kepada kurang satu peratus ketika ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, kewujudan semula DEB ini merupakan satu inisiatif tepat daripada pihak kerajaan untuk meningkatkan tahap ekonomi bumiputera.
“DEB akan membantu mencapai sasaran ke arah 30 peratus pegangan ekuiti korporat dalam kalangan bumiputera memandangkan sasaran ini masih belum dicapai sejak diperkenalkan dahulu.
“Selain itu, dasar ini berupaya membaiki ketidakseimbangan ekonomi sekali gus membantu ke arah membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.