Dibantu 3 pekerja tapak pembinaan

by Oh! Semput


5
SHARES
68
VIEWS
Posted on 03 Oct 2017 20:04:37

TIGA pekerja tapak pembinaan berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), di Gebeng, Kuantan membantu menyelamatkan tiga mangsa kemalangan membabitkan kereta, hari ini.

Pekerja berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu membantu membawa mangsa ke tempat yang selamat selepas mereka berjaya melompat keluar dari kenderaan jenis BMW itu sebelum terbakar.

Gambar kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya memuji tindakan pantas pekerja berkenaan.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dua lelaki melecur manakala seorang wanita patah kaki kanan.

Mangsa, Zuraini Basir, 34, yang berasal dari FELDA Lepar dan dua rakannya yang melecur itu masih belum dikenal pasti identiti dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng.

Kenderaan mewah itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang kiri jalan sebelum terbakar namun kesemua mangsa sempat melompat keluar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBPM) Malaysia Anuar Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran kenderaan mewah itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kita mendapati ketiga-tiga mangsa sudah keluar daripada kenderaan sebelum dikejarkan ke HTAA,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan kebakaran kenderaan itu.

Sementara itu, sepupu Zuraini, Farrah Izzah Ahmad Padzil, 36, berkata dia mendapat tahu berhubung kejadian terbabit menerusi suami mangsa sebelum bergegas ke HTAA untuk melihat keadaan mangsa.

“Doktor memberitahu mangsa mengalami kecederaan dalaman namun saya bersyukur kerana dia (Zuraini) tidak mengalami kecederaan lain,” katanya.

Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian mangsa yang bekerja di sebuah pejabat peguam dalam perjalanan ke sebuah tapak projek sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, identiti dua lagi mangsa masih belum dikenalpasti memandangkan mereka belum lagi membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Semua mangsa masih berada di HTAA untuk mendapatkan rawatan berikutan kecederaan melecur serta patah kaki kanan,” katanya.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts