by Oh! Semput
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan beliau bukan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa meminta wang tunai RM10 juta daripada ahli perniagaan Victor Chin dalam skandal mafia korporat.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR menepis dakwaan itu secara sinis sambil menunjukkan jam tangan yang dipakainya.

Dakwaan tersebut timbul selepas Victor mendakwa seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang dikaitkan dengan skandal mafia korporat.
Menurutnya, beliau hanya menyediakan RM9.5 juta manakala baki RM500,000 tidak diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan, malah turut memberi amaran agar wang itu dipulangkan sebelum 30 Mac atau identiti individu terbabit akan didedahkan.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan PKR tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut mengulangi pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya terbabit dalam salah laku.
: Malaysia Gazette (Nizam Zain)