by Oh! Semput
Gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi menyebabkan amaran awal tsunami dikeluarkan bagi beberapa kawasan pantai di Sabah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi tersebut berlaku pada jam 7.37 pagi dengan kedalaman 50 kilometer. Pusat gempa dikenal pasti berada di kedudukan latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hasil analisis mendapati tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda beberapa kawasan pantai di Sabah termasuk Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
“Sehubungan itu, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi terbabit sebagai langkah kesiapsiagaan serta amaran awal kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengikuti arahan pihak berkuasa.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ini dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.”
“Sila dapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan serta menghubungi talian hotline 1300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Menteri Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup turut mengingatkan orang ramai agar tidak panik susulan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kerajaan bersama MetMalaysia dan agensi keselamatan kini sedang memantau situasi secara rapi bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko.
Penduduk di kawasan terlibat juga diminta memberikan kerjasama penuh dan mematuhi sebarang arahan keselamatan atau evakuasi yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
Gempa Bumi Di Mindanao, Amaran Awal Tsunami Dikeluarkan Di Tawau, Semporna, Kunak & Lahad Datu first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.