by Oh! Semput
Pada pertengahan tahun ini, Google telah mengacah platform perkomputeran terbaru mereka yang dinamakan Googlebook, untuk menggantikan platform Chromebook yang sehingga kini dikenali sebagai platform komputer riba “mampu milik” yang dikuasai sistem operasi Chromebook OS yang berfungsi sebagai sistem operasi kendiri.

Dengan platform Googlebook, Google telah memperkenalkan sistem operasi baharu yang dinamakan GooglebookOS, iaitu sebuah sistem operasi yang menggunakan kernel atau asas Linux, dan hadir dengan sokongan teknologi sistem operasi Android, yang bukan sahaja membolehkan komputer-komputer riba Googlebook menggunakan aplikasi-aplikasi Android, tetapi juga membolehkannya menyokong keseluruhan ekosistem Android, membolehkannya disambungkan kepada peranti-peranti pintar Android secara lancar.

Dalam pada itu, Google juga nampaknya mengorak langkah untuk menjadikan siri komputer riba Googlebook untuk dikuasakan oleh pilihan cip-cip pemprosesan yang berkuasa. GooglebookOS disokong oleh platform-platform cip pemprosesan terkenal seperti Intel, Qualcomm dan MediaTek, dari siri cip Intel Core Ultra 300 “Panther Lake”, Qualcomm Snapdragon X Elite dan sebagainya.

Satu ciri menarik yang akan diperlihatkan pada komputer-komputer riba Googlebook ialah ciri Glowbar, iaitu bar cahaya RGB yang boleh digunakan untuk menandakan bahawa komputer riba sedang diaktifkan, tahap peratusan bateri dan juga pelbagai ciri-ciri lain yang boleh dibangunkan secara tersuai.

Malah, dari segi spesifikasi dalaman, setiap model komputer riba Googlebook akan diwajibkan hadir dengan konfigurasi memori minima 16GB DDR5 dan keatas, tidak begitu berbeza dengan komputer-komputer riba yang menggerakkan sistem operasi Windows 11. Jumlah memori ini diperlukan untuk menggerakkan sistem kecerdasan buatan Google Gemini.

Dengan kerjasama bersama rakan jenama pembuat komputer riba seperti Acer, ASUS, Dell, HP dan Lenovo yang akan melancarkan penawaran komputer riba Googlebook dengan rekaan mereka sendiri, siri komputer riba ini akan hadir bukan sahaja dengan kemampuan pemprosesan berkuasa, tetapi juga jangkahayat bateri yang lama dengan satu pengecasan yang penuh.

Untuk pusingan pertama ini, model-model komputer riba yang akan diperkenalkan termasuklah Acer Googlebook 14, ASUS Googlebook 14, Dell XPS Googlebook, HP Googlebook 14 dan Lenovo Googlebook 15.
Untuk pusingan pertama pelancaran, Google mengatakan setiap jenama komputer riba ini akan hadir dengan rekaan mereka tersendiri, yang membuatkan setiap komputer riba ini lebih unik. Komputer-komputer riba ini juga akan hadir dengan harga permulaan $899, dengan pra-tempahan dibuka untuk pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu, dan akan mula dijual secara meluas bermula 4 Oktober 2026. Setiap pembelian komputer riba Googlebook juga akan didatangkan dengan langganan Google AI Pro 5TB dan tiga bulan langganan YouTube Premium, Adobe Photoshop dan lain-lain.
: Google, Googlebook