by Oh! Semput
NEW YORK: Harga minyak mentah dunia meningkat lebih dua peratus semalam berikutan inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih rendah berbanding dijangkakan.
Gangguan bekalan yang berterusan di Libya dan pengurangan pengeluaran yang diterajui Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) turut menyokong peningkatan harga komoditi itu.
Kontrak niaga hadapan minyak mentah AS meningkat menghampiri paras tinggi dalam dua minggu selepas Pentadbiran Malklumat Tenaga (EIA) melaporkan inventori minyak mentah meningkat 867,000 tong minggu lalu, hampir separuh peningkatan yang dijangkakan, berikutan syarikat penapis meningkatkan pemprosesan selepas penyelenggaraan bermusim dan susulan kemerosotan import dan peningkatan eksport.
Penganalisis menjangkakan unjuran kejatuhan selanjutnya pada minggu akan datang. “Tempoh dijangka berakhir bagi peningkatan inventori dalam jumlah yang besar selanjutnya,” kata Standard Chartered dalam satu nota.
Pemprosesan di kilang penapisan minyak mentah AS meningkat 425,000 tong sehari berikutan kadar penggunaan meningkat 1.9 mata peratusan kepada 89.3 peratus kapasiti, berdasarkan perangkaan EIA.
Kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent ditutup AS$1.09 atau 2.1 peratus lebih tinggi kepada AS$52.42 setong selepas mencecah paras tinggi dalam sesi itu pada paras AS$52.46, tertinggi sejak 16 Mac. Kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) naik AS$1.14 cents atau 2.4 peratus kepada AS$49.51 setong.
Penganalisis minyak UBS, Giovanni Staunovo mengunjurkan Brent akan melebihi paras AS$60 dalam tempoh tiga bulan sebelum mendatar untuk tempoh enam bulan kepada AS$60 sebelum jatuh ke paras AS$57 setong dalam tempoh 12 bulan, didorong oleh peningkatan pengeluaran minyak syal AS dan pengeluaran OPEC yang lebih tinggi.