by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Tuduhan pihak tertentu mengatakan Islam yang diamalkan di Pahang bersifat kosmetik adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya berdasarkan semangat dan kefahaman yang jelas.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia terbukti dengan pembentangan 16 Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan untuk memperkasa dan mengembangkan syiar Islam di negeri itu.
Katanya, tunjang yang kukuh dan dipasak begitu kuat untuk menjaga Islam di Pahang dibuktikan dengan komitmen Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengilhamkan pelbagai program berkaitan agama.
"Ada orang kata kerajaan kita ini, Islam Pahang ni Islam kosmetik. Kosmetik ni dia macam mekap, kena air dia cair.
"Kalau duduk tengah matahari, tengah panas dia cair. Maknanya habis, mudah luntur. Tidak. Islam kita di Pahang Islam yang benar-benar hakiki. Kita binakan Islam ni dengan semangat kesefahaman," katanya ketika menyampaikan bantuan Tunas Makmur 2026 Peringkat DUN Kerdau hari ini.
Pada program itu, seramai 894 murid di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menerima kit persekolahan dan baucar di bawah inisiatif Tunas Makmur.
Ia bagi meringankan beban ibu bapa krtika anak-anak memasuki penggal persekolahan bermula minggu lalu.
Syed Ibrahim berkata, selain baucar bernilai RM100, penerima juga menerima sumbangan RM50 daripada Yayasan KOSMA dan Pejabat Pembangunan Negeri berupa baucer bantuan kembali ke sekolah bernilai RM500 kepada 100 ketua isi rumah.
Beliau turut mengajak umat Islam untuk menghayati makna Islam sebenar dengan menjaga kesucian seperti yang dianjurkan agama.
"Kita ada juga bantuan kepada masjid-masjid tiap-tiap tahun RM10,000. Dah lima tahun kita beri ke masjid-masjid tiap-tiap tahun RM10,000.
"Kemudian kita hantar orang ke Makkah kita bantu. Pendek kata alhamdulillah, kita syukur kita jagalah sama-sama," katanya.#HarianMetro