by Oh! Semput
Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara yang mencatatkan pelaburan baharu berjumlah RM32.15 bilion sepanjang tahun lalu, melebihi sasaran tahunannya sebanyak RM25 bilion.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, dengan jumlah pelaburan baharu itu, pelaburan terkumpul direkodkan adalah sebanyak RM222.44 bilion (2006 hingga 2016).
Menurutnya, jumlah berkenaan berjaya mengatasi angka sasaran awal, iaitu RM149 bilion ditetapkan semasa wilayah tersebut mula ditubuhkan pada 2006 dan kini Iskandar Malaysia terus berkembang dengan pesat.
“Sejak tahun 2006 hingga 31 Disember tahun lalu, Iskandar Malaysia menarik jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM222.44 bilion, iaitu RM119.50 bilion atau 54 peratus merupakan pelaburan yang direalisasikan sebagai projek di lapangan.
“Pelaburan domestik direkodkan sebanyak RM134.50 bilion atau 60 peratus, manakala pelaburan asing RM87.95 bilion atau 40 peratus daripada jumlah terkumpul pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, sepanjang tempoh 10 tahun pembangunan Iskandar Malaysia perubahan ketara dapat dilihat di wilayah tersebut yang bukan hanya tertumpu dari segi pembangunan ekonomi, malah merangkumi pembangunan sosial.
Kejayaan berkenaan adalah hasil perancangan strategik yang menyeluruh menerusi Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) wilayah itu.
“Inisiatif untuk merangsang aktiviti sosio-ekonomi telah membantu meningkatkan paras pendapatan isi rumah sebanyak 14.4 peratus pada tahun 2014 berbanding 2012 dan setakat ini mewujudkan kira-kira 702,000 pekerjaan dalam pelbagai sektor.
“Daripada jumlah itu, 15 peratus melibatkan pekerja mahir dan profesional, manakala 16 peratus bagi pekerja separa mahir,” katanya sambil memaklumkan bahawa satu ekosistem perniagaan khusus turut dibentuk dalam usaha mengembangkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong pelaburan strategik yang lebih besar.
Ismail berkata, peratusan pekerjaan profesional dan mahir juga dirancang untuk ditingkatkan menjadi 45 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sekali gus percaya sasaran tersebut mampu dicapai dengan kerjasama industri dan sokongan kerajaan.