Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang Telah Keluarkan Sebanyak 5,183 Notis Kepada Kenderaan Perdagangan Dalam Tempoh Lima Bulan Tahun Ini

by Oh! Semput


3
SHARES
43
VIEWS
Posted on 28 May 2026 13:32:01




KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang telah mengeluarkan sebanyak 5,183 notis kepada kenderaan perdagangan di atas pelbagai kesalahan bermula 1 Januari sehingga 27 Mei tahun ini.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khairuanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 37,291 buah kenderaan perdagangan pelbagai kategori.

“Notis yang dikeluarkan adalah di atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah, tiada lesen memandu kompeten serta kesalahan teknikal lain.

“Sebanyak 1,218 kenderaan turut diarahkan untuk ditimbang manakala 721 saman berkaitan lebih muatan dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 35 buah kenderaan turut disita  di atas pelbagai kesalahan dan 12 lagi disita di bawah Seksyen 80 APAD yang melibatkan proses lucut hak.

Katanya, antara kesalahan paling tinggi dikesan ialah muatan berbahaya atau gagal menutup muatan dengan sempurna yang melibatkan 1,091 notis.

“Kesalahan ini nampak kecil tetapi memberi risiko besar kepada pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal selain menjejaskan keadaan jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Khairuanwar berkata, JPJ Pahang turut menyita 42 buah kenderaan mewah menerusi Ops Kenderaan Mewah sepanjang tempoh sama.

Menurut beliau, majoriti sitaan adalah melibatkan kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan penguatkuasaan Warta Laluan Terhad di Jalan Permatang Badak, Kuantan bermula pada 6 April lalu menunjukkan tindakan lebih tegas selepas tempoh advokasi tamat.

Katanya, laluan tersebut melibatkan larangan kepada kenderaan perdagangan dengan berat dibenarkan maksimum (BDM) melebihi 5,000 kilogram.

“Sebanyak 21 kenderaan diperiksa dan 11 notis saman dikeluarkan atas kesalahan ingkar Larangan Laluan Terhad di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ahmad Khairuanwar berkata, bagi tempoh empat hari pertama Ops Khas Hari Raya Aidiladha yang bermula 24 hingga 31 Mei ini, sebanyak 3,308 kenderaan diperiksa dengan 359 daripadanya dikenakan tindakan penguatkuasaan membabitkan 1,348 notis pelbagai kesalahan.

Operasi khas itu melibatkan 287 anggota penguat kuasa dengan fokus terhadap keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Lima kenderaan turut disita, kebanyakannya kerana tiada perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor tamat tempoh,” katanya.

Tambahnya, operasi itu turut melibatkan pemantauan di tiga terminal utama iaitu Terminal Kuantan, Temerloh dan Genting Highlands selain semua terminal di 11 daerah di negeri ini.

Ahmad Khairuanwar berkata, rondaan dan pemantauan juga dijalankan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) serta jalan utama Persekutuan dengan penumpuan terhadap 36 kawasan blackspot dan 25 hotspot kemalangan berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menegaskan, JPJ Pahang akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan advokasi menerusi pelbagai operasi berterusan di seluruh negeri bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap optimum. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts