Tempoyak Pahang Berjaya Menawan Hati Duta Kesatuan Eropah (EU) Ke Malaysia, Rafael Daerr

by Oh! Semput


5
SHARES
67
VIEWS
Posted on 02 Jun 2026 16:31:54

KUALA LUMPUR: Bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi warga asing di Malaysia, termasuk diplomat, jatuh cinta pada makanan kegemaran tempatan seperti nasi lemak, teh tarik dan roti canai.

Menu-menu ini malah menjadi sebahagian daripada budaya sarapan pagi Malaysia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai elemen Warisan Budaya Tidak Ketara.

Bagaimanapun, Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr, yang sememangnya meminati pelbagai hidangan tempatan, telah tertawan dengan tempoyak (isi durian yang ditapai) khususnya dari Pahang, ketika dalam kalangan orang tempatan pun ada yang menjauhi makanan tradisi ini.

"Perlu masa untuk menyukai rasa tempoyak," katanya kepada Bernama dalam makan malam di Kampung Baru, di sini baru-baru ini.

Bernama mula mendengar mengenai minat Daerr terhadap tempoyak semasa penglibatan media awal tahun ini.

Penulis kemudiannya memutuskan untuk menguji minat duta itu dengan meminta beliau bercakap mengenai hubungan EU-Malaysia dalam majlis makan malam tradisional bertemakan tempoyak di tengah-tengah ibu negara.

Semasa makan malam, duta itu menikmati gulai ikan patin tempoyak, pais tempoyak dan asam tempoyak.

Mengimbas saat beliau menemui tempoyak, beliau berkata ia berlaku tahun lepas di Kampung Kuala Sat, yang terletak di pinggir Taman Negara, Pahang.

"Saya pergi ke sana bersama beberapa rakan sekerja sempena penglibatan EU untuk memulakan dan membiayai projek pemuliharaan harimau di bawah Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah (ASARTR) dengan pembiayaan awal RM5 juta. Ini menandakan peranan blok itu dalam inisiatif pemuliharaan Malaysia," katanya.

Daerr berkata ketika perbincangan dengan orang tua kampung dan aktivis pemuliharaan, hidangan sederhana yang lazat dihidangkan - nasi dengan sayur-sayuran segar dan gulai tempoyak ikan patin.

"Orang kampung melihat betapa saya menikmati hidangan," katanya sambil tersenyum.

"Sejak itu tempoyak 'muncul' dalam setiap hidangan - sarapan, makan tengah hari dan makan malam sepanjang penginapan saya. Kualiti buatan sendiri, kehangatan orang sekeliling, keunikan alam semula jadi Pahang - bergabung menciptakan sesuatu yang sukar dilupakan.

Gulai tempoyak ikan patin dan tempoyak disenaraikan sebagai Makanan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Menurut duta itu, beliau sangat gembira menemui tempoyak ketika itu, kerana beliau juga seorang pencinta durian.

"Malaysia mempunyai beberapa durian terbaik di dunia: Musing King, Black Thorn, durian kampung dan dan D24. Saya sangat sukakan durian," katanya.

Mengulas mengenai masanya di Malaysia, duta itu berkata gabungan makanan dan penduduknya telah menjadikan tinggal di sini sebagai satu pengalaman yang indah.

"Rakyat Malaysia suka membawa saya ke tempat makan kegemaran mereka. Saya diminta meletakkan (kereta diplomatik) saya yang didaftarkan di DC di suatu tempat dan bertukar ke kereta mereka untuk ke sana atas sebab tertentu. Saya juga diberitahu untuk tidak bercakap tentang makanan di situ kerana kawan-kawan saya takut mereka sukar mendapatkan meja lagi.

"Rakyat Malaysia meraikan persahabatan dan kenalan dengan makanan. Semuanya mewujudkan pengalaman positif holistik. Di EU dan Malaysia, makanan lebih daripada sekadar rezeki; ia ialah bahasa keramahan, jambatan antara budaya," katanya.

Daerr pertama kali melawat Malaysia beberapa dekad lalu, dalam lawatan keluarga ke Johor Bahru dan Mersing pada 1979.

Bertahun-tahun kemudian, pada 2011, beliau kembali untuk berbulan madu, menyusuri pantai Langkawi, jalan-jalan bersejarah Pulau Pinang dan Taman Negara yang menghijau.

Sejak memegang jawatan diplomatiknya pada September 2024, penerokaannya semakin mendalam.

Menurut duta itu, sejak ditempatkan di Malaysia, beliau hanya pergi bercuti di Jepun dan Eropah.

"Terdapat banyak lagi yang boleh ditemui (di Malaysia), dan saya masih tidak mempunyai niat untuk melancong ke negara jiran," katanya.

Duta itu berkata beliau lebih suka memandu sendiri ketika melancong kerana lebih memuaskan.

"Memandu membolehkan anda menikmati panorama, mengambil lencongan spontan atau berhenti dalam perjalanan. Dalam perjalanan ke Pangkor, misalnya, membolehkan anda singgah di Kuala Selangor atau Sekinchan untuk makanan laut dalam perjalanan dan mengagumi kehijauan sawah padi. Ini diikuti dengan melawat menara condong Teluk Intan, bandar diraja di Kuala Kangsar dan Ipoh dalam perjalanan pulang, merasai buah bali bandar itu yang popular, setiap persinggahan mempunyai kisah tersendiri."

Perjalanan beliau selalunya ditemani isteri dan anak-anak, kadangkala disertai ibu bapa atau mertua. Dan lebih ramai rakan dan keluarga dijadualkan untuk melawat.

Beliau menyambut baik perlanjutan Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga 2027 baru-baru ini.

"Saya sudah menghulurkan jemputan kepada rakan dan keluarga," katanya.

Menurut Daerr, Malaysia bukan sekadar destinasi; ia adalah satu pengalaman, Benar-benar Asia dalam setiap segi. Dan di kedua-dua EU dan Malaysia, masakan ialah bukti hidup kepada sejarah.

"Sama ada laluan rempah yang pernah menghubungkan Melaka ke Venice atau kesukaan yang dikongsi terhadap penapaian, sama ada tempoyak atau sauerkraut Jerman, makanan menceritakan kisah silam kita yang saling berkait," katanya.

Menurut duta itu, apabila hubungan antara EU dan Malaysia terus bertambah erat, keghairahan yang dikongsi bersama untuk makanan boleh berfungsi sebagai jambatan yang kuat untuk kerjasama baharu, penemuan budaya dan masa depan yang lebih terhubung untuk kedua-dua pihak.

Kerana dalam setiap sudu tempoyak, setiap teguk teh tarik, terdapat peringatan bahawa hubungan yang paling mendalam sering terjalin antara manusia ketika mereka menikmati juadah bersama. #HarianMetro


http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts