Polis Pahang Buka Siasatan Berhubung Dakwaan Seorang Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam Ditampar Oleh Ahli Politik Di Janda Baik

by Oh! Semput


6
SHARES
81
VIEWS
Posted on 02 Jun 2026 16:31:56


KUANTAN: Polis membuka siasatan berhubung dakwaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditampar oleh seorang ahli politik ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, Bentong pada 20 Mei lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 30 Mei lalu daripada mangsa yang berusia 23 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang ahli politik berusia 62 tahun dipercayai menampar pipi kiri mangsa ketika berada di dalam dewan Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Kampung Janda Baik.

"Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan beberapa individu yang turut berada di lokasi kejadian.

"Mangsa membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ahli politik tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius akibat kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis turut menerima laporan daripada ahli politik terbabit pada 1 Jun lalu berhubung kejadian sama.

Menurutnya, keterangan mangsa dan suspek telah dirakam, manakala beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sebelum ini, seorang pelajar universiti yang juga cucu kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa ditampar seorang bekas Senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di ILMU Janda Baik, Bentong.

Mangsa mendakwa insiden berlaku selepas tamat sesi ceramah program berkenaan, manakala bekas Senator terbabit dilaporkan menafikan dakwaan tersebut. #SinarHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts