Janji PRU-13: BN Jangan Terlalu Selesa

by Oh! Semput


3
SHARES
42
VIEWS
Posted on 30 Mar 2017 07:01:00

BN

BIARPUN sebanyak 82 peratus projek Aku Janji Kerajaan Persekutuan (AKP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah dilaksanakan namun kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian berkenaan.

Ini kerana kegagalan sesebuah organisasi itu disebabkan parti dan individu yang telah diamanahkan gagal untuk melaksanakan tanggungjawab.

Rakyat kini masih menantikan kerajaan mengotakan sepenuhnya janji PRU-13.

Kenapa kerajaan BN perlu berbuat demikian?

Ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu melancarkan manifesto BN PRU-13 pada 6 April 2013 menyatakan manifesto BN bukan hanya sekadar manifesto, tetapi satu dokumen ‘Aku Janji’ kepada rakyat.

Perdana Menteri memaklumkan tidak mahu menyebut perkataan manifesto kerana pakatan pembangkang berkata manifesto bukan janji.

Apabila ia merupakan sebuah ‘aku janji’ maka sudah semestinya janji yang dibuat itu perlu ditunaikan dan majoriti rakyat kini amat menantikannya.

Bagaimanapun, biarpun negara berdepan cabaran getir suasana ekonomi dunia tidak menentu yang boleh mempengaruhi ekonomi Malaysia, kerajaan BN tetap menunaikan janji manifestonya demi menjaga kebajikan rakyat.

Pada 28 Mac 2017, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sebanyak 82 peratus projek AKP pada PRU-13 dengan peruntukan RM72.26 bilion telah siap sepenuhnya sehingga 15 Mac 2017.

Antara projek terlibat Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan sepanjang 23 kilometer melibatkan 12 stesen.

Selain itu, penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights sepanjang 35.1 km dengan kos RM9.54 bilion.

Projek lain ialah pembinaan 234,832 unit Rumah Mampu Milik; pembinaan sembilan buah sekolah baharu (RM343.45 juta) dan membaik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak (RM37 juta) serta menaik taraf kemudahan perubatan hemodialisis di 22 buah hospital (RM5 juta).

Turut dilaksanakan, kemudahan akses jalur lebar di seluruh negara melalui penyediaan 230,366 port internet baharu dengan kos RM1.8 bilion, pembinaan lima buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan lapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta pembinaan 5,797 kilometer jalan luar bandar berturap dengan kos RM7.66 bilion.

Berikut antara intipati Manifesto BN bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’.

* Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.

* Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150.

* Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

* Menstruktur semula kerajaan termasuk mewujudkan kementerian baharu seiring dengan anjakan corak demografi bandar di negara ini dan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar.

* Memulihkan semula rumah kos rendah dan flat di bandar-bandar.

* Membina 1,000,000 buah rumah mampu milik – digerakkan oleh sektor awam dan swasta – termasuk 500,000 buah rumah PP1MA.

* Memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.

* Meningkatkan jumlah tenaga kerja PDRM, dengan tambahan 4,000 anggota polis pada setiap tahun.

* Memasang lampu di jalan-jalan, lorong-lorong dan laluan bagi mengurangkan lagi jenayah jalanan.

* Mengukuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM dengan menambah 5,000 buah kenderaan tambahan.

* Menambah jumlah wanita yang terlibat dalam proses membuat keputusan nasional.

* Menggalakkan kesamaan gender untuk memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dalam semua bidang, tanpa mengira jantina.

* Memansuhkan yuran setem untuk pembelian rumah pertama berharga di bawah RM400,000.

* Membangunkan sistem nasional yang akan menyediakan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada semua rakyat.

* Menubuhkan Pusat Kanser dan Pusat Jantung di hospital-hospital utama di setiap zon – Utara, Selatan, Timur di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

* Mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.

* Terus memperluaskan sistem rel, MRT, LRT dan komuter.

* Membina terminal bas, rel, dan teksi bersepadu di semua pekan dan bandar.

* Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

* Menyambung Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Krai-Kota Baharu dan Gambang-Segamat.

* Membina Lebuh Raya Pantai Barat baharu dari Banting-Taiping.

* Mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

* Menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang kerja baharu dengan dua juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi.

* Mencapai pendapatan per kapita AS$15,000 (RM45,000) menjelang 2020.

* Memperbaiki penguasaan bahasa Malaysia dan Inggeris dalam kalangan pelajar dari tahap prasekolah, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM di semua sekolah.

* Memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti bagi komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama Sabah dan Sarawak.

* Menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

* Meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

Pelaksanaan 82 peratus projek AKP pada PRU-13 membuktikan bahawa apa yang dijanjikan bukan sekadar janji pilihan raya sebaliknya dilaksanakan sesuai dengan slogan janji ditepati.

Diharapkan kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan AKP itu berjalan lancar termasuk inisiatif berkaitan menangani kos sara hidup.

Adakah kerajaan BN sekadar melaksanakan janji PRU-13 itu sahaja?

Sudah tentu tidak. Kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Kajian juga menunjukkan BN menunaikan janji-janjinya apabila dapat melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya sejak 1959.

Tidak ada gunanya kerajaan sekadar menabur pelbagai janji hanya untuk memenangi pilihan raya.

Jadi, adakah kerajaan BN jenis yang cakap tidak serupa bikin?

Rakyat sendiri dapat menilainya.

Janji biarlah berpatutan dengan keupayaan supaya pelaksanaannya menjadi kenyataan, bukannya berakhir dengan pelbagai alasan apabila tidak mampu dilaksanakan.

Apa yang penting, rakyat mendapat manfaat daripada janji yang dibuat bukan terus ternanti-nanti menunggu sesuatu yang belum pasti seperti dicanang pembangkang selama ini.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts