by Oh! Semput
Dana Perikatan Nasional (PN) khususnya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan terus diperoleh melalui sumbangan ahli parti gabungan tersebut, mengikut pendekatan yang sekian lama diamalkan oleh PAS.
Menurut laporan Utusan, bendahari baharu PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kaedah itu terbukti menjadi antara kekuatan PAS sebelum ini sehingga parti berkenaan berjaya meraih banyak kerusi dalam pilihan raya, termasuk di beberapa negeri.

Foto arkib: Bernama
Bekas Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata demikian ketika mengulas pelantikannya sebagai Bendahari PN susulan rombakan kepimpinan baharu gabungan berkenaan baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang masih memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, sumber utama dana parti sepatutnya digerakkan melalui sumbangan ahli yang dikumpulkan secara berterusan sehingga menjelang pilihan raya umum nanti.

Foto arkib: Facebook
Menteri Besar Kedah itu menambah, PN akan mengaplikasikan pendekatan yang lebih sofistikated berbanding kaedah PAS sebelum ini memandangkan kos sebenar pilihan raya dijangka jauh melebihi anggaran terdahulu.
Katanya, walaupun perbelanjaan tinggi, banyak kos dapat dijimatkan kerana kerja-kerja dijalankan secara sukarela oleh ahli, berbeza jika terpaksa mengupah pihak luar termasuk kontraktor untuk menyiapkan tugasan tertentu.
Selain itu, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa amalan bergantung kepada dana kerajaan untuk membiayai parti politik perlu dihentikan bagi memastikan landskap politik lebih bersih.
: Utusan (Jamliah Abdullah)