by Oh! Semput
Pemuda PAS Johor meluluskan usul supaya kerjasama politik parti itu dengan PKR diputuskan. Malah mereka juga mahu PAS mengambil semula kerusi parlimen Batu Pahat yang diberikan kepada PKR pada PRU yang leaps.
Kerusi itu kini diisi Datuk Idris Jusi yang mengetepikan pemimpin kanan Umno, Datuk Dr Puas Zarkashi dengan majoriti 1,732 undi.
Dalam kenyataannya malam tadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz, berkata usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dibawa perwakilan Pasir Gudang pada mesyuarat tahunan mereka semalam.
“Pemuda PAS Johor dengan ini bertekad untuk melebarkan kemenangan PAS di bumi Johor Darul Takzim pada PRU ke-14 nanti,” katanya.
Gelombang usul supaya PAS menamatkan kerjasama dengan PKR semakin hangat diperkatakan. Sebelum ini beberapa kawasan di Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan juga pernah menerima usul berkenaan.
Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai isu itu akan diputuskan pada muktamar tahunan PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah akhir bulan ini.
Kenyataan Ahmad Nawfal itu dibuat hanya beberapa hari selepas Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, mendakwa parti itu tetap menjemput wakil daripada PKR jika ada mesyuarat atau ceramah.