by Oh! Semput
Hakikat bahawa harga barangan naik ada kebenarannya. Kenaikan harga barang menyebabkan berlakunya kenaikan kos sara hidup. Namun, kita harus melihat isu kenaikan harga barang ini dari aspek ekonomi, sikap peniaga, penguatkuasaan dan peranan pengguna.
Malaysia adalah negara yang berada dalam kitaran ekonomi global dunia. Makanya, apa juga yang berlaku pada ekonomi dunia kita tidak terkecuali dari merasai tempiasnya. Ketika ekonomi dunia berkembang secara positif, kita akan merasai kesan kemakmuran ekonomi. Sebaliknya, ketika ekonomi dunia bermasalah, kita akan merasai kesan negatifnya.
Isu peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati bukanlah perkara baru, sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama. Peniaga-peniaga ini mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menaikkan harga barangan yang dijual secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan kesejahteraan rakyat. Para peniaga ini berani mencabar kewibawaan pihak penguatkuasa dengan menaikkan harga barangan kawalan, contohnya minyak masak selain menyorok barangan keperluan pengguna bagi melonjakkan harga di pasaran. Para peniaga yang licik dan tamak ini wajar diberi kesedaran tentang tanggungjawab sosial mereka kepada rakyat, bukannya rakus mengaut keuntungan semata-mata. Hanya dengan menggunakan kuasa sebagai pengguna sahaja maka peniaga-peniaga yang tamak dan rakus ini akan dapat diajar.
Kerajaan seringkali dipersalahkan apabila berlakunya kenaikan harga barang atau perkhidmatan. Ini telah membuka ruang kepada pihak berkepentingan untuk memanipulasi situasi bertujuan mengelirukan rakyat. Sikap media sosial yang sengaja membesar-besarkan isu ini secara berlebihan turut menyumbang kepada kemarahan rakyat terhadap pihak kerajaan yang dilihat seolah-olah “memberi muka” kepada peniaga-peniaga tamak. Walaupun kerajaan tidak dapat menentukan harga seratus peratus, namun mampu mengawalnya dengan mewujudkan dasar, peraturan ataupun program bagi memastikan barangan atau perkhidmatan dijual pada harga yang munasabah. Persoalannya, adakah rakyat sedar tentang perkara ini?
Contoh yang paling jelas, penggubalanAkta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebagai mekanisma bagi menyekat peniaga membuat keuntungan tanpa had. Akta ini juga membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Sebarang usaha untuk berkompromi atau bertolak ansur terhadap golongan peniaga ingkar ini tidak harus dibenarkan.
KPDNKK seharusnya lebih proaktif dalam memanfaatkan akta tersebut untuk menyekat kenaikan harga barang yang sekarang ini ibarat “pesta suka ria” sehingga menggugat kehidupan harian pengguna. Lawatan secara mengejut oleh pegawai yang bertanggungjawab hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Tidak dinafikan terdapat kes di mana anggota penguatkuasa menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka dengan menerima “suapan” bagi melindungi peniaga-peniaga tamak mahupun kekurangan dari segi bilangan anggota penguatkuasa. Lantaran aspek penguatkuasaan yang lemah, ianya telah menjejaskan imej dan membangkitkan persepsi negatif orang awam terhadap kerajaan.
Pengguna di Malaysia masih kurang pengetahuan dan maklumat mengenai isu kepenggunaan, hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Kepada rakyat, gunakan kuasa yang ada sebagai pengguna untuk mempertahankan hak mereka bagi memastikan mereka tidak ditindas oleh peniaga tamak. Kemarahan, kegeraman dan ketidakpuasan hati terhadap para peniaga yang tidak beretika boleh ditunjukkan melalui tindakan seperti (1) memilih kedai yang menawarkan harga yang berpatutan; (2) memboikot barangan yang dijual terlalu mahal; dan (3) membuat aduan kepada pihak berkuasa. Rakyat sewajarnya melengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan agar menjadi pengguna yang bijak dan mengelakkan diri menjadi mangsa peniaga-peniaga yang tamak ini.
Baca lagi: Kadar Inflasi akan Turun Bila Harga Barang Sudah Selaras GST – Johari