Kenapa Korea Utara Seperti Cacing Kepanasan?

by Oh! Semput


6
SHARES
74
VIEWS
Posted on 10 Mar 2017 14:00:31

Korea Utara

PERSOALAN utama kini adakah Korea Utara jujur dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pembunuhan abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari 2017?

Jika benar Korea Utara tidak mempunyai sebarang kaitan, maka mereka tidak perlu bersikap bagaikan cacing kepanasan.

Sebaliknya, mereka harus berunding secara baik dengan Malaysia bagi memastikan kes pembunuhan itu diselesaikan secara profesional.

Ini termasuklah mengizinkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap suspek-suspek yang kini dikatakan berlindung di Kedutaan Korea Utara.

Melihat tingkah laku Duta Korea Utara, Kang-chol dan pegawai Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur adalah jelas ada sesuatu yang tidak kena.

Kenapa mereka dilihat bermati-matian mahu kes kematian Jong-nam tidak disiasat, manakala dua suspek yang ditahan dibebaskan?

Ini menimbulkan persoalan apakah pembunuhan itu sememangnya mempunyai kaitan dengan agenda perebutan kuasa di Korea Utara?

Rakyat hanya boleh membuat andaian sahaja tetapi apa yang pasti ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara perlu diselesaikan dengan baik.

Menyentuh soal ini diharapkan semua pihak menyerahkan kepada kerajaan menyelesaikan krisis ini sebaik mungkin.

Jangan ada pihak terburu-buru membuat kenyataan apatah lagi tindakan yang boleh memudaratkan keadaan.

Kita perlu yakin dengan keupayaan kerajaan bagi menangani isu ini.

Tidak perlu ada mana-mana kelompok cuba mencari publisiti murahan atau berusaha meraih populariti politik dengan melakukan tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Malaysia perlu tegas dalam berhadapan dengan isu tersebut dan setakat ini ketegasan Malaysia sudah terserlah.

Apa yang kerajaan mahu lakukan sekarang adalah memastikan baki sembilan rakyat negara ini yang kini menjadi tahanan tidak dibenarkan keluar dari Korea Utara dibawa pulang dengan selamat.

Diharap Malaysia tidak melakukan apa yang dilakukan Korea Utara sehingga boleh mengeruhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pada 9 Mac 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan, kerajaan Korea Utara memberi jaminan kesemua rakyat Malaysia di negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan bebas melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Bagaimanapun, sehingga kini, rakyat Malaysia tidak dibenarkan meninggalkan negara tersebut kecuali dua daripada mereka yang bertugas dengan Misi Bantuan Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jaminan keselamatan itu dinyatakan melalui perbuatan telefon Najib dengan Penasihat Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang, Mohd. Nor Azrin Md. Zain.

Mohd. Nor Azrin memaklumkan kepada Perdana Menteri, dia dan keluarganya serta rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat di Korea Utara.

Najib memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk mencapai penyelesaian terbaik kepada perkara ini. Sama-sama kita mendoakannya.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya meminta masjid di seluruh negara melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu.

Marilah sama-sama kita menunaikannya supaya apa yang berlaku dapat diselesaikan secara baik dan telus.

Apa yang penting kebenaran mengenai pembunuhan Jong-nam dapat segera dirungkai dan memastikan kesemua rakyat Malaysia di Korea Utara selamat.

Melihat kepada komitmen kerajaan dan Perdana Menteri, diyakini kerajaan tidak akan memperbodohkan diri seperti mana dilakukan oleh Korea Utara.

Penyelesaian terbaik perlu dilakukan bukannya dengan menjadikan satu kes pembunuhan bertukar episod perbalahan diplomatik apatah lagi mengheret rakyat tidak berdosa sebagai mangsa.

Pastinya, dunia kini sedang memerhatikan kita.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts