by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang memperhebat pendidikan tahfiz di negeri itu apabila jumlah tadika tahfiz meningkat daripada hanya sebuah pada 2018 kepada 51 ketika ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha berkenaan bertujuan menyediakan pendidikan agama yang lebih tersusun dan bersistematik kepada anak-anak sejak peringkat awal.
“Sekarang ini ada 51 tadika tahfiz di Pahang yang sangat tersusun, silibusnya bagus dan modulnya pun telah diambil oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk dijadikan modul.
“Setakat hari ini bila sudah ada tadika tahfiz ini, sambutannya sangat baik. Ramai ibu bapa telah menghantar anak mereka ke tadika tahfiz ini,” katanya ketika Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.
Menerusi Belanjawan Negeri sebelum ini, kerajaan Pahang memperuntukkan RM235.95 juta bagi hal ehwal Islam, meningkat RM33.53 juta berbanding tahun 2025.
Peruntukan berkenaan termasuk RM116.58 juta bagi dana operasi sekolah agama dan bantuan RM10,000 kepada setiap masjid di negeri itu.
Menurut Wan Rosdy, pendidikan berteraskan al-Quran perlu diberi perhatian bagi membentuk generasi yang bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, malah mampu menguasai al-Quran dan mengaplikasikan ilmu agama dalam bidang profesional.
“Saya merasakan anak-anak ini perlu daripada awal mendapat pendidikan ataupun subjek ataupun silibus yang betul-betul boleh menjurus mereka untuk pergi lebih berjaya lagi.
“Kita nak lahirkan suatu hari nanti Perdana Menteri yang mungkin hafaz al-Quran, akauntan yang hafaz al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, hasrat sama boleh diterapkan dalam bidang profesional termasuk perubatan supaya golongan berkenaan turut mempunyai kemampuan menghafaz al-Quran.
“Kalau boleh doktor itu dia boleh hafal al-Quran. Itu seboleh-bolehnya yang kita nak,” katanya.
Ujarnya, usaha memperkukuh syiar Islam itu juga menjadi antara pendekatan kerajaan negeri dalam menjawab persepsi bahawa pentadbiran Pahang tidak mengutamakan Islam.
“Bila kerajaan Pahang dituduh sekular, tidak Islamik, jadi saya kena buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang mementingkan syariah Islam.
“Kalau cakap kosong, orang tidak percaya. Jadi, kita bercakap dengan angka,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh beliau menerajui pentadbiran Pahang, sebanyak 44 masjid telah dibina dengan kos hampir RM150 juta.
“Setiap masjid kerajaan negeri bagi RM10,000, termasuk surau yang boleh menunaikan solat berjemaah, kita bagi.
“Anak-anak kita yang berkhatan, kita menyediakan peruntukan RM1 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pencapaian pelajar menerusi penyediaan buku rujukan secara percuma bagi membantu mereka dalam pembelajaran.
Katanya, buku rujukan berkenaan disediakan hasil perbincangan dengan pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri serta membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
“Buku rujukan ini sangat membantu kerana kita bincang dengan pihak kementerian, bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan ia sangat bermanfaat serta membantu.
“Itu salah satu menyebabkan anak-anak Pahang berjaya dengan cemerlang dan kita Pahang dapat pencapaian yang terbaik,” katanya.
Wan Rosdy berkata, Pahang berada di tempat kedua peringkat kebangsaan dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 selepas Putrajaya.
Beliau berkata, pencapaian itu membanggakan mengambil kira jumlah sekolah yang lebih banyak berbanding Putrajaya selain faktor geografi termasuk kawasan pedalaman. #SinarHarian