by Oh! Semput
KEPUTUSAN sama ada PAS akan meneruskan atau tidak kerjasama parti itu dengan PKR hanya akan diputuskan dalam Muktamar PAS Ke-63 yang akan diadakan di Kedah pada 28 April 2017 sehingga 1 Mei ini.
Cuma persoalannya, adakah keputusan mengenai kerjasama PAS-PKR itu akan diputuskan juga dalam Muktamar PAS Ke-63 itu?
Pada 17 Februari 2017, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memaklumkan PAS tidak mungkin membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR walaupun akan dibincangkan mengenainya dalam muktamar akan datang.
Iskandar menjelaskan, beliau yakin muktamar berkenaan tidak akan membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR.
Kenapa Iskandar berkata demikian?
Jelas bagi Pesuruhjaya PAS Selangor itu, negeri Selangor sangat penting bagi PAS.
Ia menunjukkan PAS bukan parti pantai timur atau Melayu sahaja, tetapi sebuah parti nasional.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin pula memaklumkan hanya Majlis Syura Ulama PAS akan membuat keputusan sama ada parti berkenaan perlu memutuskan hubungannya dengan PKR atau sebaliknya.
Hashim menjelaskan, walaupun Muktamar PAS akan memutuskan kata sepakat daripada perwakilan mengenai perkara itu namun ia mesti mendapat keputusan majlis berkenaan selepas itu.
Persoalannya di sini, apa keputusan Majlis Syura Ulama PAS?
Adakah Majlis Syura Ulama PAS akan membuatkan keputusan memutuskan hubungan dengan PKR atau meneruskannya seperti biasa?
Jika diteruskan juga, ternyata PAS lebih mengutamakan kepentingan politik mengatasi daripada segalanya.
Pimpinan PAS perlu sedar bahawa PKR adalah parti gabungan dalam Pakatan Harapan dan parti itu juga menentang pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355).
Semua orang juga tahu bagaimana PKR lebih banyak mendengar suara DAP.
Bukan sahaja di Selangor malahan di negeri-negeri lain juga.
Kesudahannya PAS bagaikan terpinggir. Parti itu hanya dipergunakan ketika berceramah dan berdemonstrasi sahaja, tetapi dalam soal tindakan atau langkah politik, PKR akan lebih merujuk dan nampak menyebelahi kepada DAP.
Ketika perjuangan Islam PAS ditentang habis-habisan oleh DAP, PKR diam membisu. Kalaupun ada kenyataan dibuat, ia lebih banyak memihak kepada DAP. Dalam bahasa mudah, PKR lebih mementingkan DAP daripada PAS.
Adakah PAS akan mengenepikan perkara itu demi kepentingan politik?
Melihat situasi semasa hubungan PAS-PKR, kesemua 13 kawasan PAS Pulau Pinang telah sebulat suara meluluskan usul menamatkan kerjasama politik dengan PKR dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing.
Kawasan PAS yang meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah Tanjung; Batu Kawan; Bagan; Nibong Tebal; Permatang Pauh; Bayan Baru dan Bukit Bendera.
Turut berbuat demikian adalah PAS Kawasan Balik Pulau; Jelutong; Kepala Batas; Tasek Gelugor; Bukit Mertajam dan Bukit Gelugor.
Beberapa kawasan PAS di negeri lain seperti di Selangor dan Terengganu juga membuat keputusan sama dalam mesyuarat agung kawasan masing-masing.
Pada 20 Mac 2017, PKR seolah-olah mula goyah ekoran daripada keputusan beberapa akar umbi PAS yang bertindak memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan parti itu.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam reaksinya mengenai perkembangan tersebut nampak mengambil sikap berhati-hati.
Menteri Besar Selangor itu menasihatkan semua parti pembangkang termasuk PAS supaya terus kekal dalam rentak misi perubahan serta formula satu lawan satu untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seharusnya menjadi keutamaan.
Azmin menjelaskan, pendirian PKR tidak berubah iaitu kekal bertahaluf siyasi dengan PAS serta formula satu lawan satu.
Azmin pastinya tidak mahu memutuskan kerjasama dengan PAS kerana menyedari sokongan dan kerjasama PAS di Selangor banyak membantu pakatan pembangkang di negeri itu.
Hasil kesepakatan tersebut, PKR berjaya memerintah Selangor.
PKR perlukan PAS atas maksud survival dan perlukan tempat di Selangor kerana peluang menguasai kawasan serta jemaah masjid dan surau.
Di Lembah Klang sendiri, ramai orang Kelantan dan masjid menjadi pangkalan penting mentarbiyyah mereka untuk bakal kembali ke Kelantan semasa PRU-14.
Kini, segala isu berkenaan kerjasama itu terletak kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS.
Apa yang pasti maruah PAS perlu dipertahankan dan jangan sesekali membiarkan ia diperkotak-katikkan hanya semata-mata mahu memburu kuasa politik.