‘Kimchi Untuk Awak’ Kisah Cinta Berlatar Cerita Korea Selatan

by Oh! Semput


14
SHARES
184
VIEWS
Posted on 23 Mar 2017 04:01:05

kimchi untuk awak

Pertama kali mengarahkan filem, Michael Ang akui berdebar apatah lagi genre romantik komedi yang ditonjolkan menggunakan latar cerita Korea Selatan. Walaupun sedar ramai peminat di sini gilakan drama dari Korea Selatan ketika ini, Michael bukanlah hendak bersaing sebaliknya mahu lari daripada kisah cinta orang Malaysia. Bagi Michael, filem Kimchi Untuk Awak adalah naskhah yang istimewa kerana ia cukup rencah sama seperti menghasilkan kimchi yang juga makanan popular di Korea Selatan.

“Pada awalnya novel karya Suri Ryana ini dihasilkan untuk drama episod, tetapi selepas membaca naskhahnya saya dapat rasakan ia lebih sesuai untuk filem.

“Syukur juga penerbit bersetuju dengan idea saya dan mereka memberikan sepenuh kepercayaan untuk berkarya terhadap cerita ini walaupun ia filem pertama arahan saya,” katanya.

Yakin penonton Malaysia akan suka, Michael juga tiada niat untuk menjual ‘sensual’ apabila dapat dilihat terlalu banyak babak mesra di antara watak utamanya iaitu Emma Maembong dan Aiman Hakim.

Menurut Michael, dia sentiasa prihatin dan memandang berat sensitiviti masyarakat Melayu, tetapi demi menghormati karya itu sendiri, dia tidak boleh banyak menipu.

“Saya sentiasa peka terhadap isu berpeluk apatah lagi Emma bertudung dan saya tahu banyak babak berpegang yang dia tidak boleh lakukan.

“Jika mengikut novel, cerita ini memang sangat ‘daring’ tetapi banyak yang saya olah supaya tidak nampak keterlaluan,” katanya.

Kimchi Untuk Awak bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 30 Mac ini.

Ini bermakna filem berkenaan akan bersaing dengan filem luar negara iaitu Beauty and the Beast yang sedang dinantikan semua.

Walaupun bersedia dengan situasi itu, tetapi Michael sedikit terkilan apabila jumlah panggung terpaksa dikurangkan.

“Saya sangat berdebar menanti filem pertama ditayangkan. Apabila mendapat tahu ia ditayangkan serentak dengan filem Beauty and The Beast perasaan berdebar itu jadi berganda.

“Saya tiada masalah mengenai tayangan serentak, tetapi rasa terkilan kerana sasaran untuk mendapatkan lebih 80 panggung tidak kesampaian.

“Namun, saya yakin penonton Malaysia akan menyokong filem ini dan ramai-ramai ke pawagam menyaksikan filem ini,” katanya.

Kimchi Untuk Awak mengisahkan Bella yang juga pelajar universiti di Seoul, Korea Selatan.

Apabila cuti semester bermula, Bella bersiap-siap kembali ke Malaysia.

Namun, satu insiden berlaku di Lapangan Terbang Incheon menemukan Bella dengan seorang lelaki kacukan Korea iaitu Danial Lee Jae Hwan.

Sikap berlagak Danial membuatkan Bella menggelarnya samseng. Namun, tanpa diduga mereka bertemu semula di Malaysia dan Danial adalah majikan kakak Bella.

Pelbagai perkara berlaku sehingga masing-masing mendapat tahu keluarga mereka saling mengenali sehingga merancang untuk mengahwinkan mereka berdua.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts