by Oh! Semput
Sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kejadian buli dan penderaan tidak boleh disembunyikan semata-mata untuk menjaga imej sesebuah institusi.
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata jumlah berkenaan merujuk kepada kes yang telah dilaporkan, namun angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi sekiranya mengambil kira kejadian yang tidak dilaporkan oleh pihak sekolah.
Beliau berkata, tindakan menyembunyikan kes buli atau salah laku disiplin bagi melindungi reputasi sekolah hanya menyebabkan mangsa terus terdedah kepada penderaan serta tekanan mental.
Menurutnya, kerajaan mengakui masih terdapat kelemahan dalam menangani isu berkenaan dan usaha memperkukuh sistem sedia ada akan terus dilakukan bagi memastikan setiap aduan diberikan perhatian sewajarnya.
Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan guru bimbingan dan kaunseling serta pengukuhan kawalan di asrama melalui pelantikan pembantu warden.
Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di sekolah dan RM5 juta untuk asrama, selain tambahan RM15 juta pada tahun hadapan bagi pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.
Dalam masa sama, sebanyak 5,107 jawatan Guru Bimbingan dan Kaunseling baharu diwujudkan bagi memperkukuh sokongan kepada murid, manakala 300 Pembantu Warden Asrama dilantik menerusi program MySTEP.
Anwar turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan kebenaran untuk memasuki kawasan sekolah secara rasmi dan berpakaian seragam pada bila-bila masa bagi membantu aspek keselamatan.
Selain itu, 400 warden telah diberikan latihan berkaitan kemahiran serta sokongan psikososial, manakala kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru dalam usaha mempercepatkan tindakan terhadap salah laku.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan advokasi suara murid, polisi perlindungan murid dan pelaksanaan saringan minda sihat sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh untuk menangani isu buli.
Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan murid, dengan kes buli dilaporkan serta ditangani segera tanpa mengambil kira kebimbangan terhadap imej atau prestasi sesebuah institusi.
Lebih 5,000 Kes Buli Dilaporkan Sepanjang Lapan Bulan Pertama Tahun Ini – PM Anwar first appeared on #1 The News Malaysia.