Lelaki Maut Selepas Motosikal Hilang Kawalan Dan Jatuh Cerun

by Oh! Semput


5
SHARES
64
VIEWS
Posted on 05 Oct 2026 15:00:40

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan terjatuh ke kawasan cerun dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Bari, Setiu, awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd Nazri Ibrahim, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu melalui Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 1.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Batu 29, Setiu menuju ke Kampung Langkap, Setiu.

“Setibanya di lokasi, motosikal dipercayai hilang kawalan ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar penghadang dan terjatuh ke bawah cerun,” katanya.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang menyebabkan motosikal berkenaan hilang kawalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke Pejabat Trafik IPD Setiu bagi membantu siasatan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan tahap keselamatan ketika memandu atau menunggang, khususnya pada waktu malam.

Lelaki Maut Selepas Motosikal Hilang Kawalan Dan Jatuh Cerun first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts