by Oh! Semput
ROMPIN: Pengusaha premis makanan di Pahang tidak perlu takut atau serba salah untuk menegur pelanggan yang merokok, sebaliknya perlu melakukannya secara berhemah demi memastikan hak pelanggan lain menikmati makanan dalam suasana bersih, selesa dan bebas daripada asap rokok.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pihaknya memahami kebimbangan pengusaha yang bimbang pelanggan terasa hati atau tidak lagi berkunjung ke premis mereka selepas ditegur.
“Kita faham keadaan pengusaha. Mereka berniaga dan mencari rezeki, jadi kita tidak mahu pelanggan lari.
“Tetapi pada masa sama, kita juga perlu menjaga hak pelanggan lain yang datang untuk makan dalam suasana yang bersih, selesa dan bebas daripada asap rokok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Pahang 2026 di R&R Hentian Barat, Muadzam Shah, semalam.
Razali berkata, teguran terhadap pelanggan yang merokok tidak semestinya dilakukan secara keras atau berkonfrontasi, sebaliknya boleh dibuat dengan cara sopan dan berhemah.
“Tak perlu marah atau meninggikan suara. Cukup dengan cara yang baik dan sopan. Kalau kita tegur dengan cara yang baik, insya-Allah pelanggan juga boleh menerima.
“Yang penting, kita jangan berkonfrontasi. Tegur dengan hikmah, jaga hubungan dengan pelanggan, tetapi pada masa sama kita tetap menjaga peraturan dan kesihatan orang ramai.” katanya.
Jelas beliau, sekiranya berlaku ketidakpatuhan secara berterusan, pengusaha boleh membuat aduan melalui saluran yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan memberikan maklumat lokasi premis, tarikh, masa serta bukti berkaitan bagi membantu tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya, sehingga 21 September lalu, sebanyak 741 operasi penguatkuasaan berkaitan kawalan merokok telah dilaksanakan di seluruh Pahang.
Daripada jumlah itu, ujarnya, sebanyak 3,582 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan kesalahan merokok di premis makanan, manakala 101 kompaun dikenakan terhadap pemilik atau pengusaha premis yang gagal mematuhi keperluan ditetapkan berjumlah RM920,750.
Dalam pada itu, Razali berkata, kesedaran masyarakat terhadap larangan merokok turut dapat dilihat melalui peningkatan aduan yang diterima.
Katanya, sehingga 25 September lalu, sebanyak 722 aduan berkaitan larangan merokok diterima, termasuk 636 aduan melibatkan kedai makan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, keberkesanan kawalan merokok tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah pemeriksaan, notis atau kompaun yang dikeluarkan.
“Penguatkuasaan perlu berjalan seiring dengan pendidikan, advokasi dan usaha membantu mereka yang ingin berhenti merokok.
“Matlamat akhirnya adalah supaya masyarakat dapat menikmati makanan dalam persekitaran yang bersih, selamat dan bebas daripada asap rokok,” katanya.
Dalam aspek kebersihan dan keselamatan makanan pula, Razali berkata, sebanyak 10,345 premis makanan telah diperiksa di seluruh Pahang sehingga 21 September lalu.
Daripada jumlah itu, ujarnya, sebanyak 9,734 premis atau 94.1 peratus mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Katanya, sebanyak 314 premis turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi tempoh tidak melebihi 14 hari untuk tujuan pembersihan.
Selain itu, tambah beliau, sebanyak 4,401 Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan nilai tawaran kompaun berjumlah RM1.165 juta.
“Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri terus menggalakkan pengusaha memenuhi pematuhan minimum bagi mendapatkan Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) di mana sebanyak 1,507 sijil BeSS telah dikeluarkan di Pahang sejak tahun 2013,” katanya.
Razali berkata, pengusaha premis makanan merupakan rakan strategik kerajaan dalam memastikan usaha mewujudkan persekitaran makanan yang bersih, selamat dan bebas asap rokok dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Kerajaan tidak boleh buat seorang diri. Pengusaha, pelanggan dan masyarakat semuanya ada peranan.
Kalau kita sama-sama ambil tanggungjawab, barulah usaha mewujudkan persekitaran yang lebih sihat ini benar-benar berjaya,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan pelaksanaan sesi town hall dan libat urus bersama pengusaha sebagai ruang untuk mendengar cabaran, cadangan serta keperluan mereka bagi memastikan pendekatan kerajaan dapat terus ditambah baik.
Menurutnya, walaupun aspek kebersihan makanan dan kawalan merokok melibatkan pendekatan berbeza, kedua-duanya mempunyai matlamat sama iaitu mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk masyarakat.
“Saya berharap Program Walkabout BeBAs 2026 ini tidak berakhir sebagai program sehari, tetapi menjadi pemangkin kepada perubahan berterusan ke arah lebih banyak premis makanan yang bersih, selamat dan bebas daripada asap rokok,” katanya. #MalaysiaGazette