by Oh! Semput
Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditemukan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika disyaki cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar, Klang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Ramsay Embol, berkata mayat mangsa ditemukan orang awam sebelum pihak polis menerima maklumat dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan ketika melakukan cubaan mencuri kabel, dengan kedudukan tubuh dan tangannya masih melekat pada kabel TNB berkenaan.
Polis turut menemui beberapa barangan di lokasi, termasuk peralatan untuk memotong kabel, mangga serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan mangsa. Waris keluarga kemudian hadir untuk mengecam mayat.
Ramsay berkata kes kini disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR), manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Azhar, di talian 012-349 5921.
Siasatan masih dijalankan dan polis belum membuat sebarang kesimpulan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Lelaki Maut Akibat Renjatan Elektrik, Disyaki Cuba Curi Kabel first appeared on #1 The News Malaysia.