by Oh! Semput
Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Ampang Jaya kira-kira jam 3.59 pagi.
Susulan maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Ampang bersama Unit Kereta Peronda (MPV SL 812) segera digerakkan ke lokasi dan tiba sekitar jam 4.18 pagi.
Setibanya di lokasi, anggota polis menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki sedang menarik keluar kabel dari sebuah lubang saliran atau lurang (manhole).
Suspek yang merupakan lelaki Melayu tempatan kemudian ditahan di tempat kejadian. Polis turut menyita kenderaan serta barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian untuk membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 124K memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Dalam pada itu, polis turut mengesan rakaman video berkaitan kejadian yang tular di TikTok. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian serta kemungkinan penglibatan pihak lain.
Lelaki Ditahan Selepas Tarik Kabel Guna Pacuan Empat Roda Berhampiran Masjid Al-Ubudiah first appeared on #1 The News Malaysia.