by Oh! Semput
KUANTAN: Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di Kuala Lipis malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 9.03 malam sebelum sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata pihaknya mendapati seorang daripada empat lelaki yang berada di dalam Perodua Axia berjaya keluar sendiri, manakala tiga lagi masih tersepit di dalam kenderaan itu.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit namun dua lelaki disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi," katanya dalam kenyataan.
Mohd Salahuddin berkata mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lipis.
Beliau berkata pemandu lori dan seorang penumpang wanita kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. #beritaharian