Cubaan membawa masuk lebih 200 tan sisa elektronik ke Malaysia berjaya dipatahkan selepas sembilan kontena yang mencurigakan diperiksa pihak berkuasa di Pelabuhan Klang. Apa yang pada awalnya diisytiharkan sebagai barangan biasa rupa-rupanya sarat dengan CPU terpakai, mesin pencetak, mesin fotostat, besi buruk dan sisa berjadual yang jelas dilarang mengikut undang-undang alam sekitar negara.
Penemuan itu bukan sahaja membuktikan kewujudan percubaan terancang untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelupusan murah, bahkan ia menunjukkan modus operandi lama masih cuba digunakan menukar label barang, menyembunyikan kategori sebenar dan berharap ia terlepas di pintu masuk negara. Namun, kali ini, penguatkuasaan yang lebih ketat dan kolaborasi agensi berjaya menutup ruang penyeludupan tersebut.
Kesemua kontena terbabit kini diletakkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan Jabatan Alam Sekitar untuk dihantar semula ke negara asal. Langkah ini selaras dengan larangan penuh import e-waste yang kini dilaksanakan Malaysia, bagi memastikan negara tidak menjadi tapak pelupusan sisa toksik pihak luar.
Isu e-waste bukan semata-mata tentang pencemaran. Ia menyentuh soal kedaulatan negara, keselamatan awam dan masa depan alam sekitar. Sisa toksik yang tidak diproses dengan betul boleh mencemarkan tanah dan air, malah memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada komuniti setempat.
Tindakan tegas ini menjadi isyarat penting bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap cubaan menyeleweng undang-undang dan mencemarkan bumi negara. Cabaran seterusnya adalah memastikan setiap pintu masuk kekal diperketatkan agar usaha melindungi rakyat dan alam sekitar dapat diteruskan secara konsisten.
