Malaysia–India Perkukuh Kerjasama Strategik, Pelbagai Dokumen Dimeterai Sempena Lawatan Modi

by Oh! Semput


6
SHARES
84
VIEWS
Posted on 08 Feb 2026 08:01:40

Lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Malaysia membawa kepada pemeteraian beberapa dokumen penting yang mengukuhkan hubungan dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara. Majlis pemeteraian tersebut berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam lawatan berprofil tinggi itu, Malaysia dan India menandatangani kenyataan bersama yang memperincikan komitmen kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, industri kreatif, pendidikan, pertahanan dan hubungan rakyat-ke-rakyat. Antara dokumen utama ialah Perjanjian Produksi Bersama Audio Visual, yang bakal membuka lebih banyak peluang kolaborasi industri kreatif antara kedua-dua negara, terutama dalam produksi filem, televisyen dan kandungan digital.

Selain itu, kedua-dua pihak turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Membanteras dan Mencegah Rasuah, mencerminkan hasrat bersama memperkukuh integriti serta meningkatkan usaha memerangi rasuah pada peringkat kerajaan dan agensi awam.

Kerjasama juga diperluas ke peringkat antarabangsa melalui Pertukaran Surat (Exchange of ters) berkaitan kerjasama Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Langkah ini memperkukuh peranan Malaysia dan India dalam operasi pengaman global, sekaligus meningkatkan keupayaan kedua negara dalam aspek keselamatan antarabangsa.

Tidak ketinggalan, beberapa siri pertukaran dokumen lain seperti dalam bidang semikonduktor, kesihatan, TVET dan sains teknologi turut dimuktamadkan, melambangkan hubungan dua hala yang semakin menyeluruh dan mendalam.

Pemeteraian dokumen-dokumen ini menandakan satu lonjakan penting dalam hubungan Malaysia–India, bukan sahaja dari sudut diplomatik tetapi juga ekonomi dan pembangunan industri. Ia turut menegaskan kedudukan India sebagai rakan dagang utama Malaysia di Asia Selatan serta rakan strategik penting dalam pembangunan serantau.

Lawatan Narendra Modi tahun ini sekali lagi mengukuhkan komitmen kedua negara untuk terus membina masa depan kerjasama yang lebih kukuh, inklusif dan berimpak tinggi.

Malaysia–India Perkukuh Kerjasama Strategik, Pelbagai Dokumen Dimeterai Sempena Lawatan Modi #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts