by Oh! Semput
Pos Malaysia kini mengumumkan mereka akan menutup sepenuhnya semua cawangan kedai serbaneka mereka, Pos Shop, berkuat-kuasa 15 Julai 2026. Dengan pengumuman ini, semua kedai serbaneka Pos Shop akan berhenti beroperasi sepenuhnya, dan pihak Pos dilihat akan terus memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran dan logistik mereka.

Pos Shop sebelum ini telah beroperasi sejak April 2023 yang lepas, dan sekitar 50 cawangan telah dibuka sejak daripada itu. Namun, promosi untuknya dilihat tidak begitu meluas, dan lebih tertumpu kepada pengunjung pejabat Pos semata. Ketika pengenalan Pos Shop, pihak Pos Malaysia menyasarkan untuk membolehkan integrasi pelanggan rentas perkhidmatan penghantaran mereka bersama dengan perkhidmatan runcit. Beberapa kedai serbaneka Pos Shop turut hadir dengan penawaran Pos Kafe, dalam memudahkan pengguna mendapatkan minuman dan makanan.


Buat masa ini, pihak Pos Malaysia tidak menyatakan sebab mengapa Pos Shop dihentikan operasinya sepenuhnya. Ia turut tidak dikongsikan berkenaan adalah pekerja peruncitan terkesan dengan penamatan operasi Pos Shop ini, sama ada akan dihentikan sepenuhnya atau diserap ke bahagian lain dalam Pos Malaysia. Mengikut penyata kewangan tahun berakhir 2025, Pos Shop menjana pendapatan tahunan RM5.3 juta untuk 2025.