by Oh! Semput
Suno awal minggu ini mengumumkan mereka akan mula mengenakan had ke atas jumlah lagu yang boleh dimuat turun oleh pengguna pelan percuma dan pelan berbayar. Bermula 3 September, pengguna percuma dihadkan ke 8 muat turun lagu sahaja sebulan sementara pelanggan Pro dihadkan ke 20 lagu sebulan. Pelanggan pelan paling mahal, Premium pula dihadkan ke 60 lagu sahaja sebulan.
Pelanggan Premium yang boleh mengakses ciri Studio masih boleh menjana lagu menggunakan kecerdasan buatan (AI) tanpa had dengan hanya muat turun sahaja dihadkan. Terma dan syarat baharu ini diperkenalkan bagi mengawal lambakan lagu janaan AI yang dihasilkan menerusi platform mereka.

Ia sebahagian daripada penyelesaian Suno dengan Warner Music Group tahun lalu dalam saman pelanggaran hak cipta yang difailkan WMG. Pesaing Suno, Udio mengambil langkah drastik mengharamkan terus ciri muat turun bagi menyelesaikan saman yang juga difailkan oleh Universal Music Group.
Platform seperti Suno dan Udio telah digunakan untuk menghasilkan artis AI yang kemudiannya menjana pendapatan menerusi platform penstriman. Spotify dan Deezer mula memperkenalkan label AI pada lagu yang tidak dihasilkan manusia tahun ini. Selepas label diterima, artis AI tidak lagi akan disarankan oleh algoritma kepada pengguna.