by Oh! Semput
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) buat julung kalinya akan menganjurkan Program Gap Year yang akan memberi peluang kepada pelajar untuk “bercuti” selama setahun daripada pengajian dan memberi mereka peluang untuk menimba pengalaman di samping berkhidmat untuk negara.
Program yang berkonsepkan sukarelawan yang akan bermula September tahun ini akan melibatkan 4 agensi kerajaan iaitu PDRM, ATM, PLKN dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan penglibatan pelajar perintis daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Program ini hanya ditawarkan kepada pelajar tahun ke-2 dan ke-3 sahaja dan akan di perluas ke 8 universiti tempatan yang lain.
Walaupun para pelajar IPT ini diberi pilihan dalam menentukan sendiri apa yang ingin dilakukan dalam tempoh tersebut, kerajaan menggalakkan mahasiswa dapat memilih aktiviti yang memberikan faedah. Inisiatif ini merupakan langkah KPT untuk mematangkan fikiran mahasiswa dan menambah pengetahuan sekali gus bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan.
Kewajaran program sebegini merupakan langkah perlu dalam melahirkan dan membentuk modal insan dan menyemai semangat patriotisme kepada anak bangsa seterusnya memacu pembangunan negara. Kita juga harus mengambil respon positif terhadap keberkesanan program gap year ini yang pada mulanya diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1970-an dalam mematang dan memupuk sikap berdikari kepada pelajarnya.
Oleh itu, mahasiswa harus memanfaatkan peluang gap year ini untuk memberi nilai tambah kepada mereka kelak. Kumpulan ini turut boleh mengaplikasikan teori yang telah dipelajari untuk faedah bersama. Dengan situasi peluang pekerjaan yang semakin mencabar, peluang gap year ini harus digunakan dengan sewajarnya untuk mahasiswa mendapatkan pekerjaan yang sesuai ataupun melaksanakan sesuatu yang positif terhadap komuniti apabila tamat pengajian