Mufti Pahang Jelaskan Kejayaan Industri Halal Tidak Wajar Diukur Menerusi Jumlah Sijil Semata-Mata, Ia Adalah Amanah Syariah

by Oh! Semput


3
SHARES
35
VIEWS
Posted on 04 Oct 2026 20:00:24

KUALA LUMPUR: Kejayaan industri halal tidak wajar diukur menerusi jumlah sijil yang dikeluarkan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pensijilan itu mampu menjamin keyakinan, keselamatan, dan kemaslahatan pengguna.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim menegaskan bahawa industri halal adalah amanah syariah yang menuntut integriti, ketelusan dan komitmen berterusan daripada seluruh rantaian ekosistem serta bukan sekadar isu ketersediaan sijil atau logo semata-mata.

Menurutnya, penghasilan produk halal membabitkan rantaian yang panjang bermula daripada sumber bahan mentah, pemprosesan, pemeriksaan, pengedaran sehinggalah kepada penjualan, setiap pihak memikul tanggungjawab bersama.

Katanya, prinsip halal dan 'tayyib' menentukan bahawa sesuatu produk bukan sahaja dibenarkan daripada sudut syarak, malah perlu merangkumi aspek kebaikan, kebersihan, keselamatan, kualiti serta ketiadaan mudarat demi menjaga kepercayaan pengguna.

Terdahulu, Harian Metro baru-baru ini mendedahkan isu manipulasi serta penyalahgunaan logo halal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pendedahan itu membuktikan bahawa integriti pengurusan halal perlu diperkasakan segera agar keyakinan pengguna tidak terjejas akibat tindakan segelintir pengusaha yang menganggap pensijilan halal sekadar alat pemasaran semata-mata.

Pada masa sama, Asmadi menekankan bahawa pengurusan halal perlu beralih daripada budaya 'buat kerana audit' kepada 'buat kerana amanah' kerana integriti menuntut prinsip halal terus dipelihara walaupun tanpa pengawasan semakan.

"Pelaksanaan Maqasid Syariah menerusi pemeliharaan lima perkara utama (Hifz al-Din, Hifz al-Nafs, Hifz al-'Aql, Hifz al-Nasl, dan Hifz al-Mal) juga perlu merangkumi tiga tahap keutamaan iaitu 'Daruriyyat' (asas seperti kepakaran dan audit berterusan), 'Hajiyyat' (kemudahan seperti pendigitalan permohonan dan sistem kebolehkesanan) serta 'Tahsiniyyat' (kesempurnaan seperti ketelusan dan budaya ihsan).

"Pensijilan halal bukanlah titik akhir tanggungjawab dan sebarang pelanggaran integriti bukan sahaja mencemarkan reputasi syarikat, bahkan menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap keseluruhan ekosistem halal," katanya ketika memberikan ucaptama sempena Majlis Simposium Halal Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026, sebentar tadi.

Mengulas cabaran baharu, Asmadi menggesa kerjasama erat antara pihak berkuasa agama, kerajaan, industri, dan pakar teknologi dalam mendepani isu seperti penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam audit halal, rantaian bekalan global yang kompleks, serta teknologi makanan baharu agar tidak mengabaikan prinsip syarak. #HarianMetro

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts