Muhyiddin Mahu PPBM Contohi Kepimpinan UMNO?

by Oh! Semput


4
SHARES
49
VIEWS
Posted on 29 Mar 2017 05:00:56

Muhyiddin

BIARPUN bersama Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya diketuai DAP, namun umum mengetahui, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu mengetuai pakatan berkenaan sama seperti mana UMNO di dalam Barisan Nasional (BN).

Perkara tersebut dikuatkan lagi dengan kenyataan Presiden PPBM sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan supaya PH menjadi gabungan berteraskan Melayu.

Muhyiddin memaklumkan, gerakan yang akan dipelopori oleh pembangkang mestilah organisasi yang diketuai Melayu, majoritinya Melayu tetapi parti-parti lain yang bergabung di dalam PH akan menjadi sebahagian daripadanya.

Selain itu, Muhyiddin turut mencadangkan pakatan itu menggunakan nama ‘Barisan Rakyat’ bagi menentang BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Tidak salah Muhyiddin melontarkan cadangan tersebut kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu sememangnya bercita-cita besar mahu menjadi parti dominan di dalam PH seperti mana UMNO di dalam BN.

Persoalannya yang begitu besar di sini, adakah hasrat dan cita-cita Muhyiddin itu boleh menjadi kenyataan?

Adakah Muhyiddin tidak mengetahui realiti politik pembangkang yang membuktikan DAP adalah ‘taiko’ besar di dalam gabungan tersebut?

Oleh itu, apa sahaja yang mahu dilaksana atau diputuskan mesti mendapat restu DAP.

Gabungan PH, iaitu PKR dan PAN tidak boleh menafikan bahawa parti yang bergabung di dalam PH adalah pro-DAP.

Ini memandangkan, setiap keputusan mereka berhubung sesuatu isu termasuk berkenaan Islam perlu mengambil kira pandangan dan keputusan DAP.

Jadi, dominasi DAP di dalam PH amat jelas apabila parti pembangkang seperti PKR dan PAN akan akur dengan setiap pendirian dan keputusan DAP dalam sesuatu isu, termasuklah dalam hal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 sebelum ini.

PPBM sebagai parti baharu dalam PH terpaksa sujud di kaki DAP apabila Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup mengeluarkan kenyataan pusingan-U, di mana kononnya selama ini dia tersalah anggap terhadap DAP yang disangkakan sebagai sebuah parti rasis.

Selama lebih 22 tahun Mahathir menghentam DAP sebuah parti yang rasis dan cauvinis, tetapi kini beliau boleh pula katakan kritikannya terhadap DAP adalah tidak benar telah tersalah anggap terhadap DAP selama 22 tahun.

Jadi, satu lagi persoalannya, adakah Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bersama Muhyiddin jika DAP menentang cadangan itu?

Ini memandangkan Mahathir tidak mahu sebarang masalah dengan DAP demi mencapai cita-cita beliau menumbangkan BN.

Pada 27 Mac 2017, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata DAP menolak cadangan Muhyiddin itu dan memaklumkan PH adalah gabungan politik yang mempunyai kekuatan yang sama dan tidak ada satu parti yang dominan.

Dalam PH, jelas Loke, tidak ada soal abang sulung atau pun adik bongsu, tak ada siapa yang lebih besar di dalamnya.

Namun umum mengetahui, DAP pastinya akan menentang keras cadangan Muhyiddin berkenaan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga menolak cadangan Muhyiddin dan PPBM yang mahu menjadi parti utama dalam PH.

Walaupun Azmin memaklumkan memahami hasrat Muhyiddin itu untuk meningkatkan sokongan Melayu, tetapi menjelaskan semua pihak dalam PH terikat dengan rangka kerja dan dasar gabungan berkenaan.

Apakah rangka kerja dan dasar gabungan yang diketuai DAP itu?

Apakah semua telah dirangka oleh DAP dan parti lain dalam PH perlu mendapatkan persetujuan DAP terlebih dahulu dalam membuat keputusan?

Lihat kepada situasi ketika ini, semua itu adah tidak mustahil berlaku.

Jauh bezanya jika hendak dibandingkan antara UMNO dan PPBM ketika ini.

UMNO ditubuhkan atas deraian air mata orang Melayu menentang penindasan British melalui Malayan Union.

Perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union dibina atas keikhlasan orang Melayu untuk tidak lagi melihat masyarakat Melayu terus menjadi hamba orang putih.

Kini, selepas 70 tahun perjuangannya, UMNO sudah menelan pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Jatuh bangun UMNO dalam perjuangan politik demi kelangsungan kuasa yang ada pada tangan orang Melayu sudah teruji dalam 13 pilihan raya umum.

Bagaimana pula dengan PPBM?

Umum mengetahui bagaimana PPBM ditubuhkan yang pastinya bukan melalui deraian air mata orang Melayu.

PPBM ditubuhkan atas kekecewaan bekas pemimpin UMNO apabila kata-kata mereka yang mahu rakyat menjatuhkan Perdana Menteri, tidak mendapat sambutan yang diharapkan.

Setakat mana daya juang bekas pemimpin UMNO melalui parti baharu itu?

Melihat usia Mahathir yang sudah menjangkau lebih 90 tahun dan Muhyiddin yang sudah mencapai 69 tahun, apakah masih ada lagi sisa perjuangan yang terlalu lama untuk mereka?

Selain untuk menjayakan cita-cita politik Mahathir, kewujudan PPBM sebenarnya bertujuan memecah-belahkan parti yang dikuasai oleh Melayu dan bumiputera khususnya UMNO dan PAS.

Adakah PPBM tidak sedar parti itu sedang dicucuk hidung oleh DAP?

Selagi mana bersama PH, PPBM hanya sekadar menjadi boneka dan perlu mengikut telunjuk DAP yang merupakan ‘abang long besar’ dalam gabungan itu.

Berjayakah dan siapakah Muhyiddin untuk menentukan hala tuju PH?

Babak penolakan cadangan PPBM dan Muhyiddin dalam PH baharu sahaja bermula.

Ia dikira cadangan peribadi yang menguntungkan sebelah pihak semata-maga.

Apakah episod seterusnya?

Jika ia dianggap tersilap langkah akibat terlalu lantang, Muhyiddin pasti terpaksa akur menjadi pemimpin yang ditutup dan dikunci mulut semata-mata.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts