by Oh! Semput
Mahkamah Tinggi berpendirian, Datuk Seri Najib Razak merupakan dalang di sebalik penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan menerusi tipu daya dengan proksinya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menunjukkan rasa kesal atas salah laku yang menyebabkan kerugian kewangan besar kepada negara, menurut Mahkamah Tinggi dalam penghakiman kes 1MDB.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam alasan penghakiman setebal 800 muka surat yang dikeluarkan hari ini berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pada asalnya diwujudkan sebagai dana kekayaan negara bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, akhirnya bertukar menjadi “pusat kepada antara skandal rasuah kewangan dan pengubahan wang haram terbesar pada abad ke-21”.

Menurut beliau, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan yang dibentangkan dalam Hansard Parlimen, RM42 bilion daripada RM50 bilion kerugian berkaitan 1MDB telah dibayar setakat tahun lalu, manakala RM29 bilion berjaya diperoleh semula menerusi usaha pemulihan aset.
“Kesan dan akibat daripada skandal ini masih berterusan, dan masih terdapat tanggungan kewangan semasa yang perlu diselesaikan,” kata Sequerah.
Beliau turut menegaskan bahawa skandal berkenaan bukan sahaja memberi kesan kewangan, malah merosakkan reputasi negara.
“Skandal ini juga merosakkan reputasi Malaysia,” katanya.

Mahkamah juga menekankan bahawa individu di tengah-tengah skandal tersebut bukanlah pegawai bawahan, sebaliknya seseorang yang berada pada kedudukan tertinggi dalam hierarki kuasa.
“Di tengah-tengah skandal ini bukanlah seorang pekerja bawahan yang mengambil kesempatan atas kelemahan sistem, tetapi seorang individu yang berada pada kedudukan tertinggi kuasa.”ujar beliau.
Menurut penghakiman itu lagi, Najib telah menggunakan serta mengeksploitasi kedudukannya untuk mempengaruhi keputusan penting termasuk meluluskan transaksi berkaitan 1MDB secara tergesa-gesa.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tertuduh tidak pernah menunjukkan sebarang penyesalan, sebaliknya memilih untuk menyalahkan pihak pengurusan 1MDB atas skandal berkenaan.
“Mahkamah ini juga wajar mengambil kira tertuduh tidak pernah menunjukkan rasa kesal atas kesalahan dilakukan, sebaliknya memilih menyalahkan skandal itu kepada kakitangan pengurusan 1MDB,” kata beliau ketika menjelaskan asas hukuman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib, selepas mengambil kira keseluruhan keadaan kes.
Dalam pada itu, mahkamah turut memaklumkan Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International yang sebelum ini diputuskan, yang disifatkan mempunyai ciri-ciri berkaitan dengan kes 1MDB.
Dalam penghakiman sama, Sequerah menyifatkan kes ini mempunyai “sejarah penuh liku”, bermula pada 20 September 2018 apabila Najib didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Perbicaraan hanya bermula pada Ogos 2019 berikutan prosiding kes SRC International ketika itu masih berjalan di mahkamah.
Beliau berkata perbicaraan kemudiannya berdepan beberapa penangguhan termasuk akibat pandemik COVID-19, sebelum berlangsung lebih enam tahun dengan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan memberi keterangan.
“Ini berkemungkinan besar mengatasi tempoh mana-mana perbicaraan lain dalam sejarah mahkamah Malaysia, satu rekod yang tidak membanggakan,” katanya.
Mahkamah turut menolak pembelaan bahawa wang diterima Najib merupakan “derma” daripada Raja Arab Saudi, dengan menyatakan perkara itu telah pun diputuskan sebagai tidak boleh dipercayai dalam prosiding terdahulu.
“Dapatan ini mewujudkan estoppel terhadap tertuduh. Beliau tidak lagi boleh membangkitkan perkara sama untuk dibicarakan semula,” kata Sequerah.
Mahkamah turut menolak dakwaan bahawa kes berkenaan bermotif politik, sebaliknya menyatakan terdapat bukti kukuh bahawa Najib menyalahgunakan kedudukannya dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
: FMT