by Oh! Semput
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan kekal dalam Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang disyaratkan ke atasnya untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, dibayar kepada mahkamah.
Peguam mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co, memaklumkan pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke atas Najib adalah pengampunan bersyarat, justeru pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guamnya itu bergantung kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.
"Sementara itu dan sehingga denda itu dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada dalam Penjara Kajang.
"Anak guam kami dan pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat itu serta implikasi praktikalnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 jika beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan, memaklumkan ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada hari sama.
BHEUU berkata, Najib perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan jika beliau tidak mematuhi mana-mana syarat itu, pengampunan bersyarat berkenaan adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Dalam pada itu, peguam Najib turut memaklumkan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan.
Dengan itu, pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau pada masa ini.
Justeru katanya, keupayaan bekas Perdana Menteri itu untuk memenuhi syarat pembayaran denda RM50 juta bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah, bergantung sebahagiannya kepada perkara yang berada di luar kawalan beliau. #BeritaHarian