by Oh! Semput
Selepas lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik, Dato’ M. Nasir bakal mencipta satu lagi sejarah dalam kerjayanya apabila buat pertama kali mengarahkan sebuah teater muzikal menerusi produksi Mansur & Liu, yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 10 hingga 20 September ini.
Produksi berskala besar itu akan dipersembahkan dua kali sehari, masing-masing pada jam 3 petang dan 8.30 malam. Selain bertindak sebagai pengarah, M. Nasir turut menghasilkan keseluruhan lagu serta skor muzik asli untuk pementasan berkenaan yang merangkumi lebih 30 karya, menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu dengan sentuhan orkestra kontemporari.
Pelakon Aliff Aziz dipilih untuk menggalas watak Sultan Mansur Shah, pemerintah keenam Kesultanan Melaka yang terkenal pada zaman kegemilangan empayar itu, manakala penyanyi Melinda Dadew, yang mula dikenali menerusi program realiti Raise The Star 2025, diberi kepercayaan membawakan watak Puteri Liu.
Pementasan itu turut dibarisi pelakon berpengalaman dan artis terkenal seperti Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Mansur & Liu diterbitkan oleh Roman Abadi bersama Icon Entertainment, selain menjadi teater muzikal pertama yang diterbitkan M. Nasir bersama isterinya, Datin Marlia Musa. Pemilihan pelakon utama bagi watak Puteri Liu dibuat menerusi sesi uji bakat terbuka “M. Nasir Mencari Liu” yang diadakan pada Mei lalu.
Naskhah ini mengangkat kisah hubungan diplomatik antara Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming menerusi pertemuan Sultan Mansur Shah dengan Puteri Liu. Jalan ceritanya mengetengahkan tema diplomasi, kebijaksanaan dan persefahaman antara dua tamadun besar, yang digarap dalam bentuk teater muzikal berinspirasikan hikayat sejarah.
Walaupun kisah Puteri Liu sering dikaitkan dengan catatan Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dan dianggap sebahagian daripada legenda sejarah, produksi ini mempersembahkannya sebagai karya seni yang menggabungkan unsur sejarah, budaya dan penceritaan kreatif, bukannya dokumentari sejarah.
Jualan tiket akan dibuka mulai 10 Ogos pada jam 3 petang menerusi platform Ticket2U, dengan harga bermula daripada RM88 hingga RM408. Penonton turut berpeluang mendapatkan pakej Cast Meet & Greet pada harga tambahan RM200, sekali gus memberi peluang bertemu barisan pelakon selepas persembahan.
M. Nasir Buat Julung Kali Arah Teater Muzikal ‘Mansur & Liu’ Di Istana Budaya September Ini first appeared on #1 The News Malaysia.