Nikmat Tuhan Yang Akhirnya Aku Sedari Semasa Dalam Kesusahan Sewaktu Kembara Di Iceland

by Oh! Semput


6
SHARES
75
VIEWS
Posted on 30 Sep 2016 07:00:20

bercuti-di-iceland-3

Beberapa hari sebelum terbang ke Iceland, aku terima berita kurang gembira. Apartment yang aku booking di Vik dibatalkan atas sebab kerosakan pada bangunan kesan gegaran gempa beberapa hari sebelum itu.

Bila dengar perkataan batal, aku jadi kalut. Kalau untuk aku seorang tidak mengapa, boleh saja aku tidur dalam kereta. Tapi bersama aku ada 8 lagi buddies, termasuk Mak Jemah dan bukan backpackers. Ini liga lain.

Last minute. Kalau dapat pun, penginapan kurang selesa atau dapat harga gerenti cekik darah. Semua laman web tempahan penginapan aku buka, mahal macam hotel 5 bintang harganya. Pening.

Atas nasihat dan cadangan tuan apartment, aku ambil penginapan yang bukan dalam laluan. Sebaliknya berpatah balik hampir 100 km ke Hella!

Ohoi! Pergi balik Hella ke Vik hampir 200km. Kawasan Katla baru sahaja dilanda gempa bumi, cuaca beberapa hari ini pun kurang baik. Itu belum kira kerugian petrol yang terpaksa diisi dengan harga petrol yang super mahal. Dengan seorang driver, setan selalu bergayut dekat mata masa driving. Ngantuk Ya Rabbi!

Macam-macam benda buruk masuk dalam kepala aku.
bercuti-di-iceland-8

Entah macam mana, pagi itu sebelum bertolak ke Hella, tayar kereta pancit. Patutlah semalam kereta sudah menyala lampu indikator untuk memeriksa tayar. Tapi biasalah. Aku buat tidak tahu, sebab aku tidak tahu apa yang aku patut buat. Logik. Tayar pun okay sahaja nampak semalam. Lagipun aku mengejar masa.

It is not a big deal. Tukar tayar je kot. Pagi itu aku dan Farid buka tayar. Azahar bagi sokongan moral. Aku minta Ikin drive cari kedai tayar berhampiran pekan Selfoss.

Rupanya hari itu adalah Sabtu, kedai kebanyakannya tidak dibuka. Hari Ahad pun begitu. Lokadd dalam bahasa Icelandic bermaksud tutup.

Aku buntu. 7 orang menunggu untuk dihantar ke Hella, sedangkan kedai tayar tidak dibuka. Workshop berhampiran cadangkan ke Reykjavik 70km dari situ untuk cari kedai tayar.

Itu pilihan terakhir dan terhampir. Atau aku terpaksa tunggu hingga Isnin untuk kedai dibuka. Garu kepala aku.

Ketika itu jam 11.30am. Kalau aku ke Reykjavik, mesti tiba semula sebelum jam 4 petang. Sempat kah ? Itu pun kalau kedai tayar buka.

Kalau tutup, ada kemungkinan tidur di situ. Bagaimana dengan kawan aku 7 orang yang sedang menunggu. Mahu ke Hella, boleh menjadi Hell untuk mereka hari ini!  Now it is a big deal.

Akhirnya aku dan Ikin putuskan berpatah balik, tukar tayar spare, bawak 7 orang lagi dan teruskan memandu perlahan ke Hella. Memang perlahan pun, bawah kelajuan yang ditetapkan. Sampai berderet kereta dibelakang. Ada yang hon, tapi aku buat pekak. Lantaklah.

Dalam kepala aku, dapat check in dahulu, kemudian baru fikirkan bagaimana untuk uruskan tayar. Dalam kepala otak aku blank, tiada idea. Aku mana reti tampal tayar!

bercuti-di-iceland-4
FARID GUNAKAN KUASA ANGIN PERUT UNTUK MELONGGARKAN SKRU TAYAR.
bercuti-di-iceland-6
LUAR BIASA. ADA OWNER YANG SOMBONG. TAPI OWNER GUESTHOUSE INI BAIK HATI DAN ANAK SEORANG DOKTOR.
bercuti-di-iceland-6

PENGINAPAN YANG ALLAH PILIH UNTUK KAMI.
Sampai di Hella, The Farmers Guesthouse. Memang sebelah dengan ladang, dengan pemandangan lapang dengan kelihatan kandang kuda disebelah. Memang mendamaikan, sehinggalah kami disapa dengan anjing-anjing comel dua ekor. Macam tidak cukup tanah Kak Suri lari masuk kereta bila anjing mahu ‘bermanja’.
Penginapan yang Allah pilih untuk kami.

Kami tiba awal sekitar jam 12.30 tengahari, sedangkan waktu checkin hanya jam 3 petang. Satu hal pula mahu menunggu, sedangkan aku mahu cepat dan berharap dapat cari kedai tayar di kawasan Hella pula.

Lepas aku slow talk dengan owner guesthouse, cerita masalah dan linangan air mata ( yang ini aku tambah), dia setuju untuk benarkan kami check in secepat mungkin sebaik sahaja dia selesai kemaskan guesthouse. Lega rasanya. Selesai satu masalah.

Aku tanya dia lagi dimana kedai tayar yang berhampiran. Aku pun sebenarnya agak sudah putus harapan sebab aku rasa semakin jauh dari bandar, semakin tipis peluang jumpa sebarang kedai.

‘ me try to fix it..’ cadang tiba-tiba owner.

Tiba-tiba aku nampak cahaya. ‘Can you?’

‘I’m a farmer, I can try.’ jawabnya separa yakin.

Terharu bila aku tengok dia start engine kereta dan memecut mencari kelengkapan. Beberapa minit kemudian, dia balik dan mula cuba baiki tayar. Aku dalam hati berdoa supaya tayar itu tidak rosak teruk. Biarlah bocor dan tampal biasa sahaja.

Allah! Berpeluh-peluh dia aku tengok.Betu bersungguh. Dia ambil air sabun dan mula spray di tayar. Dipusing-pusingkan cuba mengesan buih-buih udara. Akhirnya berjumpa bocornya. Guna playar, dia tarik paku keluar. Panjang kira-kira 3 inci!

Kemudian dengan segera menampal bocor. Beberapa minit kemudian semua selesai. Aku ucap terima kasih sangat-sangat, aku tukar tayar dengan segera.

Good as new! Selesai satu perkara.

Baca: 10 Tip Travel Ke Lokasi Indah Dalam Filem Dilwale Di Iceland

bercuti-di-iceland-8
WE MADE IT SOMEHOW.
Aneh. Petang itu aktiviti berjalan seperti biasa. Kami ke Seljalandfoss tengok air terjun yang mengagumkan. Hilang keraguan dan kerisauan aku sejak pagi. Aku tengok kawan yang lain turut sama happy. Ida, Cikja, Niza dan Diqnie steady bergambar sakan.

Kejadian pancit tayar itu seolah-olah tidak berlaku. Semua elok. Seperti tiada apa yang berlaku.

Balik ke guesthouse malam itu, aku minum kopi dalam suasana sejuk di kawasan stesen minyak. Aku dongak ke atas lihat langit yang amat luas. Tapi tidak dapat luasnya nikmat dan bantuan Tuhan berikan pada aku pada hari itu.

Secantik mana rancangan aku, rancangan Tuhan juga yang terbaik. Kalaulah apartment di Vik tidak dibatalkan, aku tidak dapat bayangkan sengsara memandu dengan tayar spare sejauh lebih 100km. Itu belum lagi kira masalah kalau aku tidak jumpa kedai tayar di Vik.

Bila aku fikir semula, belum pernah aku memandu di Eropah berlaku tayar pancit yang sukar benar untuk diganti. Sayang Allah pada aku, mahu pancit pun, diletakkan orang yang baik-baik disekeliling.

Kalau bukan Farid, mungkin aku tidak larat buka tayar kereta. Kalau bukan Ikin, mungkin aku tidak mampu mencari kedai tayar. Kalau bukan kawan-kawan yang penyabar, mungkin rencana pada hari itu sudah ke laut. Dan kalau bukan kerana farmer tu, mungkin kami tidak akan ke mana. Kalau bukan berserah pada Tuhan, mungkin aku sudah tidur di Reykjavik malam itu.

Malam itu, pandangan aku pada nikmat Tuhan berubah. Kalau Tuhan mahu hantar bantuan boleh jadi dalam macam-macam bentuk. Ia boleh hadir dari jiwa manusia dalam pelbagai warna. Semuanya tidak dijadikan secara sia-sia, cuma untuk kita berfikir nikmat Allah yang mana mahu kita dustakan ?

Tunduk malu. Terasa gagah bila dapat menjelajah Eropah, hakikatnya aku tersangat kerdil di mata Allah. Ampunkan aku.

Aku akan kembali lagi ke tanah ini.

Catatan kembara
Irwan Dahnil
Heaven on earth.
Reykjavik, Iceland


SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts