by Oh! Semput
Nothing Headphone (1) Pro dilancarkan secara mengejut pagi ini dengan ia merupakan fon kepala profesional pertama dikeluarkan oleh Nothing. Tidak seperti Nothing Headphone (1) sebelum ini, Headphone (1) Pro mempunyai tiga pemandu utama yang terdiri daripada pemandu 40mm untuk audio utama, satu pemandu dinamik dan satu lagi pemandu xMEMS untuk treble.

Ini akan memberikan pengalaman audio yang lebih profesional dan dinamik. Sistem audio spatial yang disokong pula hadir dengan tetapan Standard, Live House, Club, dan Concert Hall. Pada waktu yang sama fon kepala boleh memainkan audio resolusi tinggi serta codec AAC, SBC, LDAC, dan LC3. Selain itu fon kepala juga dilengkapi 10 mikrofon untuk memberikan sistem ANC yang lebih baik sehingga 46dB.

Tubuh diperbuat daripada bahan titanium dan juga aluminium. Keseluruhan cawan telinga dipotong daripada satu bongkah aluminium. Bahagian cawan telinga mempunyai kaca tahan lasak untuk memberikan rekaan lutsinar yang digunakan pada produk Nothing. Headphone (1) Pro juga dikemaskini dengan span lebih tebal, angkup telinga lebih besar dan pelbagai lagi untuk meningkatkan keselesaan berbanding Headphone (1). Fon kepala ini juga kalis air serta debu IP52.

Kesemua butang kawalan suara, mengawal muzik dan mod diberikan dalam bentuk butang fizikal. Malahan terdapat butang untuk mengaktifkan Flat EQ untuk menikmati audio tanpa talaan EQ.
Tambatan pantas boleh dilakukan dengan sistem Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair. Selain itu sambungan dengan kabel 3.5mm juga boleh dilakukan dengan ia disertakan dengan setiap pembelian. Bateri adalah sebesar 1,060mAh dengan hayat penggunaan sehingga 30 jam dengan ANC dan sehingga 68 tanpa ANC. Akhir sekali setiap Headphone (1) Pro hadir dengan bekas simpanan yang hanya menutup bahagian cawan telinga.

Nothing Headphone (1) Pro dijual pada harga £349 (~RM 1888) dalam warna hitam dan putih.