Pahang Akan Runding Pasdec Corporation Sdn Bhd Untuk Benarkan SJKT Ladang Jeram Kekal Hingga Bangunan Baharu Siap

by Oh! Semput


5
SHARES
60
VIEWS
Posted on 26 Nov 2026 20:00:58

KUANTAN: Pahang akan berunding dengan Pasdec Corporation Sdn Bhd untuk membenarkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram kekal sehingga bangunan baharu siap.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, berkata kerajaan negeri akan mendapatkan kerjasama syarikat itu bagi memberi masa mencukupi kepada sekolah untuk menyiapkan premis baharu sebelum mengosongkan tapak sedia ada.

"Pendidikan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian sewajarnya. Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) secara peribadi campur tangan untuk pemilik tanah membenarkan SJKT Ladang Jeram mengosongkan hanya selepas bangunan baharunya siap.

"Bangunan baharu yang terdiri daripada blok akademik dan kantin itu akan dibina di tapak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom di Bandar Damansara. Kerja reka bentuk sedang dimuktamadkan," katanya ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, hari ini.

Media melaporkan pada 21 November lalu, murid SJKT Ladang Jeram menghadapi masa depan tidak menentu selepas pemilik tanah melalui surat bertarikh 13 November, memberi tempoh tiga bulan kepada sekolah mengosongkan premis.

Sementara itu, Mohd Soffi berkata, sekolah yang mempunyai 36 murid dan 13 guru itu akan dibina semula dengan kos RM24 juta.

Pasdec sudah mengeluarkan notis pada 2022 meminta pihak sekolah mengosongkan tapak terbabit tetapi membenarkan ia terus beroperasi sehingga bangunan baharu siap.

Bagaimanapun, pembinaan belum dimulakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan SJKT Ladang Jeram akan dibina semula ketika pembentangan Bajet 2026 pada 10 Oktober tahun lalu. #BeritaHarian

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
bLink
Popular Posts