by Oh! Semput
CYBERJAYA, 16 Jun — Lebih RM50 juta cukai tunggakan belum dikutip daripada ekspatriat yang telah meninggalkan Malaysia sejak 2012, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah.
Beliau berkata kebanyakan daripada mereka adalah daripada sektor perkhidmatan, dengan mereka didapati memalsukan jumlah gaji sebenar dalam borang permohonan ekspatriat atau mengisytiharkan gaji lebih rendah daripada yang diterima.
Ada di antara mereka yang menyalahgunakan pas pelajar dan tidak menghadiri kuliah sebaliknya menjalankan perniagaan tetapi tidak mengisytiharkan atau melaporkan pendapatan perniagaan kepada LHDN.
“Kita juga dapat mengesan daripada jumlah pengiriman wang ke negara asal serta gaya hidup mewah mereka di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Hasil MyEXPAT di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Sabin berkata LHDN sedang berbincang dengan 75 negara yang telah menandatangani Perjanjian Cukai Dua Kali untuk mengutip semula cukai daripada ekspatriat.
“Walaupun kita belum mempunyai mekanisme khusus untuk berbuat demikian tetapi kaedah ini telah terbukti berkesan kerana ia dilaksanakan di beberapa negara lain,” katanya.
Tahun ini, katanya, LHDN akan mengambil tindakan termasuk menyenarai hitam, mendenda atau mengenakan hukuman penjara terhadap majikan atau penaja yang gagal menjalankan tanggungjawab memotong cukai pekerja asing sebelum mereka meninggalkan Malaysia untuk pulang ke negara masing-masing.
“LHDN juga akan menjalankan siasatan dan audit ejen-ejen yang membawa ekspatriat dan pekerja asing ke Malaysia kerana ada laporan memaklumkan ejen itu tidak melaporkan pendapatan atau komisen yang diterima daripada ekspatriat,” katanya.
Sabin berkata bagi mengatasi masalah itu, LHDN akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Perkhidmatan Pegawai Ekspatriat (ESD) bagi memeriksa status urusan cukai sebelum ekspatriat meninggalkan Malaysia.
“Sekiranya mereka gagal menjelaskan cukai itu, ekspatriat tidak akan dibenarkan meninggalkan atau masuk ke Malaysia,”katanya.
Berdasarkan statistik, Sabin berkata cukai pendapatan yang dikutip daripada ekspatriat menunjukkan peningkatan konsisten dengan tahun lepas, jumlah kutipan cukai pendapatan adalah sebanyak RM201.31 juta berbanding RM201.27 juta dan RM144.36 juta pada 2015 dan 2014.
Mengenai Sistem MyEXPAT, beliau berkata sistem itu yang dahulunya dikenali sebagai sistem FORIN, dibangunkan untuk kegunaan dalaman LHDN dengan menggunakan maklumat daripada JIM bagi memantau urusan percukaian berkaitan ekspatriat di Malaysia termasuk semakan terhadap pengeluaran Surat Penyelesaian Cukai dan semakan lejer ke atas potongan cukai berjadual.
“Sistem Hasil MyEXPAT akan digunakan di semua cawangan LHDN seluruh negara mulai 1 Julai ini bagi memastikan kemasukan ekspatriat ke Malaysia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan serta membayar cukai pendapatan Malaysia yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, Mustafar berkata kerjasama JIM dan LHDN dimeterai melalui Memorandum Persefahaman berkaitan Kerjasama Perkongsian Maklumat Berkenaan Dengan Eskpatriat di Malaysia yang ditandatangani pada 19 Jun 2014 dalam menangani isu percukaian ekspatriat yang menjalankan tugas di Malaysia bagi satu tempoh tertentu yang menggunakan Pas Penggajian atau Pas Lawatan Ikhtisas.
Beliau berkata statistik JIM menunjukkan sebanyak 12,415 syarikat telah berdaftar dengan ESD Jabatan Imigresen Malaysia dari April 2014 sehingga Mei lepas dan daripada jumlah itu, sebanyak 134,113 orang mempunyai pas bekerja dan pas lawatan profesional yang dimohon melalui sistem ESD.
Lima sektor tertinggi yang menjadi pilihan ekspatriat di Malaysia ialah pembinaan dan perkilangan (masing-masing 22 peratus), perkhidmatan (14 peratus), minyak, gas dan tenaga (11 peratus) dan sektor pendidikan (8 peratus). — Bernama