by Oh! Semput
Semalam siri Google Pixel 11 dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan pratempahan telah dibuka. Semalam juga saya menerima peranti untuk diulas bagi melihat sama ada ia lebih baik berbanding Pixel 10 Pro Fold tahun lalu atau dengan beberapa peranti lipat lain jenis Fold. Tak sampai 24 jam digunakan, saya boleh memberitahu anda Pixel 11 Pro Fold yang baru dilancarkan ini sudah ketinggalan berbanding peranti lain di pasaran.

| Google Pixel 11 Pro Fold | |
|---|---|
| Skrin | 6.5″ OLED, 120Hz Actua Display 8.0″ LTPO OLED, 120Hz Super Actua Flex HDR10+ |
| Pemproses | Google Tensor G6 (3nm) |
| Cip | 1x 4.11 GHz C1-Ultra 4x 3.38 GHz C1-Pro 2x 2.65 GHz C1-Pro |
| Cip Grafik | PowerVR CXTP-48-1536 |
| RAM | 16GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 48MP f/1.7 OIS (Sudut Lebar) 10.5MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10.8MP, f/3.1, OIS (Telefoto 5x) |
| Kamera Swafoto | 10 MP, f/2.2 (Luar) 10 MP, f/2.2 (Dalam) |
| Bateri | 4806 mAh Pengecasan berwayar 30W Pengecasan nirwayar 25W Pengecasan berbalik 4.5W |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM 5G Sub 6 |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 7,999 (16/256 GB) RM 8,599 (16/512 GB) |
Saya keluarkan kenyatan di atas kerana skrin ialah petanda pertama mengapa Pixel 11 Pro Fold sudah tersungkur sebelum ia sempat bertatih. Baru sahaja peranti dikeluarkan daripada kotak, garis lipatan pada skrin dalam sebesar 8″ adalah amat ketara. Lebih ketara berbanding garis pada skrin Z Fold8 yang saya sudah digunakan lebih dua minggu.

Memang saya katakan jika anda pengguna peranti skrin lipat, garis lipatan ini akan hilang daripada pandangan selepas beberapa hari. Tetapi jika Google ingin kompetitif dalam pasaran telefon lipat mereka sekurang-kurangnya perlu menawarkan produk yang setanding dengan pesaing.

Kesan lipatan pada skrin akan menjadi semakin ketara mengikut usia. Boleh diramalkan garis akan menjadi semakin dalam setahun selepas digunakan. Ini sudahpun berlaku pada unit Pixel 10 Pro Fold yang diulas saya tahun lalu.
Satu lagi kekurangan skrin Pixel 11 Pro Fold, Oppo Find N6 dan Hono Magic V6 berbanding siri Z Fold8 ialah skrin luar serta dalam mempunyai bucu yang dibulatkan. Bucu bulat pada skrin adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan bucu pada peranti candybar dan kurang menarik berbanding skrin siri Z Fold8 yang berbucu tajam. Tiada kandungan terpotong semasa membaca komik dan ebuku pada skrin Z Fold8.

Tidak semuanya negatif kerana saya harus memberikan pujian pada skrin Pixel 11 Pro Fold tahun ini yang lebih terang. Ia boleh mencapai keterangan puncak 3600 nit berbanding 3000 nit tahun lalu. Kandungan nampak lebih terang dan jelas apabila digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.
Pixel 11 Pro Fold mempunyai rekaan tubuh yang sama dengan model tahun lalu. Jika anda pernah memegang Pixel 10 Pro Fold, ia sama sahaja di dalam tangan cuma dengan bonggol kamera yang lebih kecil. Di bawah ialah perbandingan tebal dan berat Pixel 11 Pro Fold berbanding beberapa peranti pesaing.
| Model | Tebal (tutup) | Tebal (buka) | Berat |
| Google Pixel 11 Pro Fold | 10.1mm | 5mm | 239g |
| Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra | 8.9mm | 4.1mm | 215g |
| Samsung Galaxy Z Fold8 | 9.7mm | 4.5mm | 201g |
| Honor Magic V6 | 9mm | 4.1mm | 219g |
| Oppo Find N6 | 8.9mm | 4.2mm | 225g |
Ia lebih tebal dan berat berbanding peranti lipat mercu pesaing 2026. Seperti isu dengan skrin yang telah saya sentuh di atas, Pixel 11 Pro Fold telah ketinggalan sebelum pertandingan bermula. Menggunakan peranti ini selepas sehari terasa seperti tiada evolusi serius dilakukan oleh Google untuk membawakan penambahbaikan yang diminta oleh pengguna.

Yang menyelamatkan muka Google daripada terus diconteng dengan arang ialah kualiti binaan Pixel 11 Pro Fold masih terasa premium. Ia memang terasa seperti sebuah telefon yang harganya lebih RM7000 sebuah. Engsel terasa tegap dan boleh kekal di kedudukannya walaupun saya menghentam permukaan meja. Tidak seperti Z Fold8 yang tidak mempunyai Flex Mode.

Tubuh juga melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang lebih baik berbanding siri Z Fold9 (IP48), Find N6 (IP59) dan hanya kalah kepada Magic V6 (IP69). Tak perlu risau air tertumpah atau peranti tenggelam di dalam kolam ketika digunakan.

Perisian Android 17 digunakan dengan siri Pixel 11 menjadi yang kedua selepas Z Fold8 dan Z Flip8 dilancarkan dengan sistem operasi Android terkini ini, Ia membawakan ciri baharu eksklusif pada Pixel iaitu Bubbles. Seperti semua peranti Pixel, sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti diberikan bagi memberikan ketenangan masa panjang.

Pada Pixel 11 Pro Fold saya rasakan ciri ini tidak begitu berguna kerana proses menukar aplikasi lebih pantas dengan mengaktifkan Taskbar.Taskbar boleh diubah untuk kekal di bahagian bawah skrin tyang dibuka atau terapung. Disamping itu melancarkan dua aplikasi serentak dengan Split Screen juga boleh diakses

Terdapat juga ciri AI lain seperti Gemini Intelligence yang boleh memahami konteks lebih baik kerana membaca Gmail, sejarah YouTube, peta Map, Photos dan bermacam-macam aplikasi lain.
Menaip menggunakan suara juga lebih tepat dengan Rambler di Gboard yang dengan bijak membuang ayat yang tidak diperlukan. Kesemua ini daripada pemahaman saya menggunakan model Nano Banana yang terbina dalam peranti tanpa ia dihantar ke awanan terlebih dahulu menjadikannya pantas.

Terdapat juga ciri Screenshot baharu yang menyimpan semua tangkapan layar dalam aplikasi khas. AI kemudian membaca semua maklumat dalam tangkapan layar seperti nombor telefon, kata laluan WiFi, nombor tempahan kapal terbang dan alamat venue acara. Dari dalam aplikasi pengguna hanya perlu bertanya soalan yang ingin diketahui jawapannya dan Screenshot akan memberikannya berdasarkan maklumat yang telah dikumpul.

Recorder yang boleh menjana transkrip audio temubual secara automatik. Notebook juga terpasang pada Pixel 11 Pro Fold memudahkan dokumen diproses, difahami dan kemudiannya diubah menjadi podsiar secara automatik.
Google Circle to Search, Gemini dan Gemini Voice yang kini akhirnya semakin pintar dibantu oleh Gemini Intelligence yang memberikan jawapan berdasarkan maklumat peribadi yang dikumpul menerusi pelbagai perkhidmatan Google.
Pixel 11 Pro Fold ialah peranti lipat paling mercu pernah dihasilkan oleh Google dengan pemproses paling berkuasa dan perisian paling terkini. Dari sudut rekaan tidak banyak penambahbaikan dilakukan dengan hanya skrin sedikit lebih besar dan sensor utama yang lebih besar. Tumpuan sekali diberikan pada perisian, ciri AI dan kemampuan memproses AI terus daripada peranti.

Tetapi hakikatnya ini ialah rekaan yang digunakan sejak Pixel 9 Pro Fold. Maka pelbagai isu pada peranti terdahulu seperti garisan pada skrin lipat yang ketara, tubuh peranti tebal dan berat masih lagi wujud. Jika pengeluar lain mampu menawarkan skrin tanpa garisan ketara, bateri jauh lebih besar dan tubuh nipis, mengapa Google tidak melakukan perkara yang sama?
Di Malaysia, Google Pixel 11 Pro Fold dijual pada harga bermula RM 7999 sebuah. Pratempahan sudah boleh dilakukan dengan ia akan dijual secara terbuka bermula 20 Ogos depan.
Pro
Kontra