1.3 pekerja Indonesia di Malaysia pulang beraya

by Oh! Semput


3
SHARES
33
VIEWS
Posted on 24 Jun 2017 02:01:07

Warga Indonesia yang bekerja di negara ini, seawal pagi sudah tiba di terminal feri Kompleks Datuk Shaari Jihin untuk menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman. — Foto BernamaPONTIAN, 24 Jun — Sebahagian daripada 1.3 juta warga Indonesia yang sah bekerja di negara ini, telah mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak minggu lepas bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

Atase perhubungan kedutaan besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, Muhammad Abduh berkata kebanyakan mereka memilih menggunakan perkhidmatan feri di 12 pelabuhan utama atau pintu masuk di Tawau (Sabah), Kuching (Sarawak), Port Klang (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Melaka, Hutan Melintang (Perak) dan lain-lain.

Katanya, beliau bersama atase-atase lain telah turun padang melakukan pemantauan di sesetengah pintu masuk itu bagi memastikan keselamatan rakyatnya terjamin.

Pada masa sama, lawatan ke kilang-kilang, ladang serta tapak pembinaan turut dilaksanakan oleh atase tenaga kerja KBRI Kuala Lumpur Mustafa Kamal bagi mengesan pekerja tidak mempunyai permit dan berpotensi pulang ke kampung halaman menggunakan bot pancung haram.

“Di Malaysia sememangnya ramai sekali tidak ada permit. Itu yang menyebabkan mereka mahu atau tidak mahu menggunakan bot pancung.

“Bagaimanapun, kita telah melakukan sosialisasi (lawatan) ke kilang-kilang, ladang dan tapak pembinaan untuk menerangkan jangan sampai menggunakan bot pancung.

“Kita juga menyediakan video dan pembentangan yang menggambarkan beza antara bot pancung dan feri kerana kadang-kadang, mereka ini tidak tahu rupa feri sebenar atau bot pancung sedangkan feri mempunyai jaket keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Muhammad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini semalam bagi meninjau keadaan warga Indonesia yang pulang menyambut Aidilfitri.

Katanya, ketika ini kawasan panas untuk bot pancung beroperasi ialah di wilayah timur Johor memandangkan tempat berkenaan belum dilengkapi sistem radar pemantauan agensi penguatkuasaan Malaysia.

“Di Selat Melaka bermula dari Lumut (Perak), kawasan itu sudah ada radar dan ini memudahkan pihak Malaysia mengawal kapal-kapal (bot) yang masuk.

“Wilayah timur Johor pula khabarnya sedang dalam pembinaan (radar), InsyaAllah tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Berhubung lawatannya itu, Muhammad berkata beliau berpuas hati dengan sistem operasi dan penguatkuasaan yang dilaksanakan pihak pengurusan terminal kerana menyediakan feri tambahan yang lengkap dengan ciri keselamatan kepada warga Indonesia.

“Setakat ini, tiada penangguhan pelepasan feri. Setiap kali bot berangkat, terus ada lagi bot lain datang untuk mengangkut penumpang.

“Bahkan untuk hari ini, hari terakhir untuk warga Indonesia pulang, pihak pengurusan memutuskan untuk melanjutkan operasi feri sehingga 5 petang atau sampai penumpang habis, berbanding cuma setengah hari sahaja pada waktu biasa,” katanya.

Setakat kelmarin, 7,000 warga Indonesia telah menggunakan perkhidmatan feri di terminal berkenaan dan ia dijangka meningkat sehingga 12,000 orang lusa. — Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts