by Oh! Semput
Pada minggu lepas, dunia permainan komputer dan konsol heboh dengan pengenalan perisian pelagak (emulator software) yang boleh memainkan permainan konsol Sony PlayStation 5. Perisian pelagak ini, yang dinamakan SharpEmu, baru-baru ini dilaporkan bahawa ia telah berjaya untuk menggerakkan sejumlah kecil permainan PlayStation 5 pada kadar 60FPS.
Perisian pelagak SharpEmu telah diperkenalkan sejak pertengahan Julai 2026, dimana ia telah memperlihatkan kebolehan untuk menghidupkan permainan Demon Souls, dan kini boleh dimainkan, walaupun ia hadir dengan banyak isu grafik dalam permainan.

Sehingga kini, mereka nampaknya telah menguji sebanyak 58 permainan konsol PlayStation 5, dan mengatakan bahawa daripada angka itu, sebanyak 20 permainan boleh dihidupkan, dengan 9 daripadanya boleh dimainkan, tetapi mempunyai banyak isu grafik dan prestasi yang lain.
Daripada 20 permainan tersebut, enam daripadanya, termasuklah Dreaming Sarah, Void Terrarium, New Joe & Mac: Caveman Ninja, Tetris Forever, Hoa, dan Tomb Raider IV-VI Remastered telah memperlihatkan kemampuan untuk dimainkan secara stabil pada kadar segar semula 60FPS dengan isu olahan grafik minima.

Versi terbaru SharpEmu v0.0.4-release.2 boleh dimuat-turun dan dipasang pada komputer menggunakan sistem operasi Microsoft Windows 11, Linux dan juga MacOS, dan memerlukan komputer dengan komponen yang mempunyai sokongan untuk menggerakkan API grafik Vulkan dan juga MoltenVK.
Projek perisian pelagak ini masih lagi berada dalam fasa awal, dan kemaskini kepada bagaimana ia berfungsi dijangka akan membantunya untuk menggerakkan dan memainkan lebih banyak permainan lagi.
: SharpEmu