by Oh! Semput
Polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak yang sedang menunggang basikal di Jalan Wirawati 5, Kampung Pandan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan itu diambil susulan penularan rakaman video kejadian di media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Myvi berwarna oren melanggar seorang penunggang basikal sebelum beredar dari lokasi.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.26 pagi ketika pemandu kereta berkenaan membelok keluar dari satu simpang ke arah kanan.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu telah melanggar bahagian belakang basikal yang ditunggang seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya.
“Pemandu dipercayai meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima dan siasatan lanjut yang dijalankan, polis berjaya mengesan pemandu terbabit serta pemilik kenderaan sebelum kedua-duanya tampil ke balai polis untuk membantu siasatan.
Semakan mendapati suspek menggunakan kenderaan milik adiknya dan merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental selain memiliki lesen memandu yang masih sah.
Bagaimanapun, identiti penuh serta keadaan kesihatan kanak-kanak yang terlibat masih belum dapat dipastikan kerana ahli keluarganya belum tampil membuat laporan polis setakat ini.
Sehubungan itu, polis menggesa keluarga mangsa hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan serta memberikan maklumat berkaitan kecederaan yang dialami mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan yang boleh diambil terhadap pemandu terbabit.
Pada masa sama, polis turut meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan insiden tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hazman di talian 019-208 9005 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Kejadian itu mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video kemalangan berkenaan tular di media sosial, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya, khususnya kanak-kanak yang menunggang basikal di kawasan perumahan.
Pemandu Myvi Disyaki Langgar Lari Budak Ditahan first appeared on #1 The News Malaysia.