by Oh! Semput
PUTRAJAYA, 18 Jun — Hasrat seorang pemandu bot untuk membantu penumpangnya yang terjatuh semasa menaiki bot tiub bertukar tragedi apabila dia mati lemas di Tasik Putrajaya, Presint 3 semalam.
Mangsa Muhammad Fauzi Bagumbayan, 29, ditemukan oleh anggota penyelamat di tempat kejadian pada kira-kira 5 petang.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata sebelum kejadian, mangsa membawa sepasang pelajar asing bersiar-siar menaiki bot tiub tersebut di tasik berkenaan sekitar 12.45 tengah hari.
“Salah seorang penumpang (lelaki) terjatuh dan mangsa yang tidak memakai jaket keselamatan terjun untuk menyelamatkan beliau, namun beliau hilang,” katanya kepada media di sini.
Beliau berkata kedua-dua penumpang itu kemudian berenang ke tepi tebing dan kejadian disaksikan dua pekerja pembersihan Alam Flora yang kebetulan sedang bekerja di sana, dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Operasi mencari dan menyelamat itu disertai 50 anggota terdiri daripada polis, bomba, paramedik dan kakitangan Perbadanan Putrajaya.
Rosly berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, adik mangsa, Muhammad Fairul Ezwan Bagumbayan, 26, berkata abangnya mempunyai lesen berenang serta menyelam dan telah bekerja dengan Syarikat Water Ski sejak Mac lepas.
Beliau berkata arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik merupakan seorang yang periang dalam kalangan anggota keluarga.
Muhammad Fairul Ezwan berkata beliau terkilan kerana hasrat arwah yang masih bujang mahu bertemu anak keduanya yang baru lahir pada Khamis lepas tidak kesampaian. — Bernama