Pemandu Positif Dadah Langgar Pegawai Polis Di Penjara

by Oh! Semput


3
SHARES
35
VIEWS
Posted on 23 Jun 2026 15:01:40

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar seorang pegawai kanan polis yang sedang menjalankan tugas dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah di Jalan Padungan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Kuching dan dijatuhi hukuman penjara bagi beberapa kesalahan yang dilakukan dalam insiden berkenaan.

Menurut beliau, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, penjara setahun mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan serta penjara sembilan bulan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi pada 20 Jun lalu, suspek dipercayai bertindak merempuh sekatan jalan raya sebelum melanggar seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP) yang sedang bertugas di lokasi.

Akibat kejadian itu, pegawai polis terbabit mengalami kecederaan pada bahagian pinggang serta luka pada siku kanan dan menerima rawatan lanjut.

Selepas insiden tersebut, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum berjaya diberkas kira-kira jam 7 pagi hari yang sama di Jalan Bintara, Samariang hasil operasi mengesan yang dijalankan pihak polis.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamine dan benzodiazepine.

Siasatan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Selain hukuman yang telah dijatuhkan, Alexson berkata lelaki itu juga bakal berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan pemanduan di bawah pengaruh dadah pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau menegaskan bahawa tindakan melarikan diri daripada sekatan jalan raya serta memandu di bawah pengaruh dadah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa ketika operasi dijalankan dan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.

Pemandu Positif Dadah Langgar Pegawai Polis Di Penjara first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts