KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang tuntut kerajaan negeri menjelaskan status sebenar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dekat sini.
Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng itu sebelum ini diumumkan akan mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos mencecah berbilion ringgit
“Pengumuman projek ini telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan sering dijadikan bahan promosi kejayaan serta bukti keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang sekarang ini dipimpin oleh UMNO PH.
“Namun, sehingga kini, rakyat masih tertanya-tanya di manakah kedudukan sebenar projek ini?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Azlan tidak melihat sebarang perkembangan fizikal jelas di tapak projek yang menandakan pembinaan sudah bermula selain tiada pengumuman rasmi mengenai kelulusan lesen aerodrom dibuat.
Justeru, Pemuda PAS Pahang berpandangan rakyat Pahang berhak mendapat penjelasan yang jujur dan berfakta bukan sekadar pengumuman berulang yang akhirnya tinggal sebagai janji politik.
“Lebih membimbangkan, projek mega seperti ini melibatkan implikasi besar terhadap kewangan negeri, guna tanah, alam sekitar serta hala tuju pembangunan ekonomi Pahang.
“Pembangunan tidak boleh berasaskan retorik semata-mata di mana setiap projek mega mesti didasari perancangan rapi, ketelusan dan keutamaan rakyat.
“Kegagalan menjelaskan status sebenar hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri,” tegasnya.
Pemuda PAS Pahang juga akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi memastikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri Pahang tidak terus dipermainkan. #MalaysiaGazette
http://www.pahangdaily.blogspot.com