by Oh! Semput
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan penangguhan perbahasan usul yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi akan datang adalah sebahagian daripada permainan drama untuk merampas hak pembangkang mengemukakan pandangan.
Khalid berkata, ketika perbahasan usul pembangkang hanya duduk diam tanpa mengganggu Marang (Abdul Hadi) dan Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) membahaskan usul.
“Kami beranggapan bahawa kami juga akan ada peluang berhujah. Oleh kerana itu kami telah duduk dengan diam tanpa ganggu Marang dan Kota Bharu sewaktu mereka membahaskan usul,” katanya.
Menurutnya, ahli Parlimen pembangkang dengar penuh teliti dan tidak mengganggu ketika ada pencelahan daripada Pas dan Umno kerana tunggu peluang untuk membahas.
“Oleh kerana itu, kami merasakan amat terkilan kerana tidak diberikan peluang membahas dan berhujah serta mempersoalkan rasionalnya usul yang dikemukakan itu,” katanya lagi.
“Mereka tidak akan beri kita peluang berhujah, kerana jika diberikan peluang, mereka tahu kesemua pandangan kami (Amanah, PKR, DAP, Bersatu) mempunyai asas yang baik dan kukuh,” katanya.