by Oh! Semput
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar perlawanan ‘kelas A’ saingan Liga Malaysia (Liga M) diadili oleh pengadil antarabangsa dari Jepun bagi memastikan tiada keputusan atau isu berbangkit pada masa akan datang.
Sebagai rekod, kekecohan berlaku apabila peminat tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan kontroversi pengadil, Md. Nazmi Nasaruddin pada perlawanan Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang 3-2 ke atas Kelantan kelmarin.
“Kami telah menerima laporan yang mengatakan pengadil telah menjalankan tugas dengan teruk dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Justeru, saya mahu FMLLP melihat perjanjian dengan JFA sekiranya kita boleh menggunakan khidmat pengadil mereka pada perlawanan penting nanti.
“Keputusan ini dibuat bagi mengelakkan daripada mana-mana pihak menuding jari. Namun, (saya menafikan) jika ada pihak yang mengatakan JDT menang (ke atas Kelantan) kerana saya adalah Presiden FAM.
“Saya telah menang tujuh piala bersama JDT sebelum bergelar Presiden, malah menentang sistem FAM sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam perkembangan sama, Tunku Ismail turut meluahkan kekecewaannya terhadap keputusan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sebelum ini yang telah membawa FAM terpaksa menghadapi kes yang merugikan sehingga menyebabkan baginda terpaksa bertemu dengan pihak atasan MP & Silva untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab mereka (Exco) sebelum ini menyebabkan kita berdepan dengan dua kes iaitu dengan MP & Silva yang sekiranya kita tewas, kita terpaksa membayar RM25 juta termasuk tambahan RM9 juta lagi pada syarikat yang menguruskan pembangunan skuad Harimau Muda ke Slovakia.
“FAM boleh tandatangani perjanjian yang lebih memihak kepada pihak lain dan disebabkan perkara tersebut telah meletakkan badan induk ini dalam keadaan yang susah.
“Ini adalah perkara yang serius dan kini, saya terpaksa berusaha untuk bertemu dengan pemilik atau orang atasan MP & Silva dan cuba menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah supaya dapat menjaga duit yang ada dalam akaun FAM,” titah baginda.
Sebagai rekod, FAM menerusi perjanjian dengan MP & Silva yang dibuat pada 2015 dijangka menerima RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun dengan purata sebanyak RM70 juta setahun untuk tahun pertama sebelum meningkat kepada RM103 juta bagi tiga tahun terakhir.